Khabar angin yang tersebar
Khabar angin yang tersebar
Norasikin Daineh


JABATAN Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini menafikan khabar angin bahawa Taufan Lan akan membadai Sabah.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, jabatan itu meminta orang ramai supaya tidak mempercayai khabar angin yang disebarkan di media sosial.

"Untuk makluman, Taufan Lan yang pada ketika ini berada di timur Filipina akan bergerak menjauhi rantau negara menuju ke Jepun.

"Bagaimanapun, kesan angin kuat yang secara tidak langsung masih boleh dirasai di Sabah," kata kenyataan media itu.

Kenyataan sama menyebut, akan sentiasa melakukan pemantauan cuaca dan akan mengeluarkan amaran hujan lebat sekiranya keadaan memerlukan.

"Sehubungan itu, orang awam dinasihatkan untuk mendapatkan maklumat sahih daripada laman sesawang Jabatan Meteorologi Malaysia www.met.gov.my atau aplikasi mobil myCuaca dan akaun facebook atau Twitter rasmi jabatan," katanya.

Terdahulu, MetMalaysia turut mengeluarkan amaran cuaca buruk berada di peringkat kuning bagi kawasan tertentu di negeri ini.

Dalam laporan itu, hujan berterusan berserta angin kencang berlaku di bahagian pedalaman (Kuala Penyu, Beaufort, Sipitang, Tenom, Keningau dan Tambunan), pantai barat, Kudat dan Wilayah Persekutuan Labuan berlanjutan sehingga Sabtu ini.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima aduan 25 kes pokok tumbang berikutan cuaca buruk yang melanda kawasan pantai barat Sabah hari ini.

Ketua Cawangan Pusat Gerakan Operasi JBPM Sabah, Khatizah Rahaban berkata, sehingga jam 4 petang hari ini pihaknya menerima 35 panggilan dan 25 daripadanya membabitkan kes pokok tumbang.

"Daerah paling banyak mencatatkan kes pokok tumbang iaitu di Kota Kinabalu dan Penampang masing-masing enam kes.

"Sementara itu, di Lintas, Tuaran dan Kuala Penyu menerima masing-masing tiga kes pokok tumbang, manakala di Papar, Kota Belud, Kota Marudu dan Ranau masing-masing hanya satu kes," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Oktober 2017 @ 7:52 PM