KEADAAN langit di Kota Kinabalu yang dirakam  dari Menara Kinabalu semalam yang dipercayai kesan awal dari taufan Noru. FOTO Mohd Adam Arinin
KEADAAN langit di Kota Kinabalu yang dirakam dari Menara Kinabalu semalam yang dipercayai kesan awal dari taufan Noru. FOTO Mohd Adam Arinin
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Taufan Noru yang membadai utara Filipina, semalam tidak mendatangkan ancaman secara langsung kepada negeri di Timur Malaysia.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Muhammad Helmi Abdullah berkata, taufan itu bergerak ke barat dan dijangka membadai Vietnam, awal pagi esok.

Menurutnya, ia akan menyebabkan kekuatan angin baratan di rantau negara meningkat dan penumpuan tiupan angin.

"Amaran hujan berterusan (Waspada) sudah dikeluarkan pada 25 September lalu bagi beberapa kawasan di negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan dan berakhir semalam.

"Pembentukan garis badai yang boleh mengakibatkan ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang dijangka berpotensi berlaku di negeri utara Semenanjung termasuk Kelantan dan Terengganu serta kawasan perairan negeri berkenaan bermula esok hingga Jumaat ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, berdasarkan maklumat dari Japan Meteorogical Agency (JMA) dan Joint Typhoon Warning Center (JTWC) kelajuan taufan itu boleh mencapai sehingga 230 kilometer/sejam (km/j).

"Namun begitu ia dijangka mula melemah apabila mula membadai Vietnam pagi esok dan dijangka tamat riwayatnya, Khamis ini," katanya.

Muhammad Helmi berkata, MetMalaysia juga mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora untuk perairan Laut China Selatan berkuat kuasa sehingga Jumaat ini.

"Bagi perairan Phuket dan Selat Melaka Utara termasuk Perlis, Kedah dan Pulau Pinang berkuat kuasa esok sehingga Jumaat ini," katanya.

Katanya, orang awam dinasihatkan sentiasa peka dengan perubahan cuaca, sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan semua media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 September 2022 @ 3:28 PM