KEADAAN kenderaan mangsa yang remuk selepas hilang kawalan berhampiran Bulatan Simpang 5, Klang.
KEADAAN kenderaan mangsa yang remuk selepas hilang kawalan berhampiran Bulatan Simpang 5, Klang.
Iskandar Shah Mohamed


Klang: Berpantang maut sebelum ajal. Itulah situasi ditempuh seorang pemuda yang terselamat selepas tercampak dari jejambat setinggi lebih dua meter di Bulatan Simpang 5 menghala ke pusat bandar ini, semalam.

Dalam kejadian jam 1.49 tengah hari itu, mangsa, Choy Kian Chuan, 23, dilaporkan patah kaki kiri manakala kereta Proton Wira dipandunya masih berada di atas jejambat terbabit.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang memandu bersendirian datang dari arah Pelabuhan Klang.

“Setibanya di jejambat itu, mangsa bagaimanapun dipercayai hilang kawalan dan melanggar besi penghadang jalan di kawasan berkenaan.

“Ia mengakibatkan mangsa kemudian tercampak keluar dari kereta berkenaan lalu jatuh ke Bulatan Simpang 5 terbabit,” katanya di sini, semalam.

Menurut beliau, mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (HTAR) untuk menerima rawatan lanjut.

“Pemeriksaan awal mendapati lelaki itu mengalami patah kaki dan keadaan keretanya remuk teruk di bahagian depan,” katanya.

Kata Shamsul, siasatan masih dijalankan pihaknya berikutan waris mangsa setakat ini belum membuat laporan mengenai kemalangan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Oktober 2017 @ 5:50 AM