NAJIB dan Mahdzir bersama pelajar dan guru ketika meninjau kelas dengan konsep PAK-21 di SMK Putrajaya 8(1), semalam.
NAJIB dan Mahdzir bersama pelajar dan guru ketika meninjau kelas dengan konsep PAK-21 di SMK Putrajaya 8(1), semalam.
BERNAMA

Putrajaya: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam melakukan tinjauan di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 8(1), di sini, bagi melihat kaedah pembelajaran abad ke-21 (PAK-21) yang dilaksanakan di sekolah berkenaan.

Najib tertarik dengan penggunaan gajet pintar di dalam kelas dan menyifatkan proses pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih interaktif serta mampu menambah keceriaan dan merangsang minat pelajar.

“Kaedah itu saya yakin dapat melahirkan generasi baru yang mempunyai kemampuan berfikir secara lebih kreatif dan kritis dan menambah keyakinan berkomunikasi di samping dapat bekerjasama dalam satu pasukan.

“Pada keseluruhannya suasana di dalam kelas lebih positif dan bertenaga berbanding cara lama atau konvensional,” katanya ketika lawatan itu.

Dalam tinjauannya setengah jam disertai Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid, Najib turut mendapatkan penerangan mengenai penggunaan papan pintar dan melihat sendiri cara tenaga pengajar berinteraksi dengan pelajar di dalam kelas.

Najib mengucapkan tahniah kepada Kementerian Pendidikan kerana berjaya membuat percubaan melaksanakan konsep PAK-21 dan berharap ia dapat diperluaskan.

Mahdzir berkata, beliau menjangkakan Perdana Menteri memberikan peruntukan dalam Bajet 2018 yang akan dibentang 27 Oktober ini untuk mengubah suai kelas di sekolah rendah dan menengah di seluruh negara menjadi kelas PAK-21.

“Pada cadangan kementerian (peruntukan dalam bajet 2018) mungkin untuk 1,000 sekolah, satu sekolah dua kelas pintar, jadi kami cadangkan 2,000 kelas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Oktober 2017 @ 7:39 AM