FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Siti A'isyah Sukaimi


HANYA RM5.3 juta daripada keseluruhan RM37 juta berjaya dikutip oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) daripada pesalah yang dikenakan saman sejak Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) dilancarkan 15 April lalu.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Shaharuddin Khalid berkata, keseluruhan saman yang dikeluarkan membabitkan 229,319 kesalahan memandu melebihi had laju dan 21,874 kesalahan melanggar lampu isyarat dilakukan seramai 235,890 pesalah individu dan syarikat.

"Kutipan saman berjaya dikutip hanya membabitkan 29,957 pesalah individu dan 5,735 syarikat masing-masing sudah membayar saman berjumlah hampir RM4.5 juta serta RM854,550 bagi tempoh antara 15 April lalu sehingga semalam.

"Selain itu, kita sudah memberi tempoh untuk mereka membayar saman tertunggak dan JPJ akan berbincang dengan pihak Jabatan Peguam Negara mengenai tindakan selanjutnya.

"Tindakan berkenaan termasuk mendakwa mereka di mahkamah sekiranya masih ada yang tidak membayar saman mengikut tempoh ditetapkan," katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

AWAS adalah gabungan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dan Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (KEJARA), dilancarkan bagi membolehkan pesalah dikenakan amaran dan tindakan mengikut mata demerit terkumpul iaitu empat mata dan enam mata.

Sistem keselamatan itu juga membolehkan pesalah jalan raya dikenakan mata demerit apabila melakukan kesalahan melanggar arahan lampu isyarat dan melebihi had laju melalui pelaksanaan KEJARA.

Beliau berkata, kesalahan yang direkodkan adalah menerusi 21 kamera AES diletakkan di lokasi strategik malah, lebih banyak kamera AES akan dipasang bagi memastikan pemandu mematuhi undang-undang.

Dalam perkembangan lain, Shaharuddin turut memaklumkan mengenai Ops Sisih 1 dan Ops Sisih 2 dilaksanakan pada November serta Disember ini bagi memastikan semua pemandu bas ekspres bebas daripada kesalahan lalu lintas dan tidak mempunyai saman tertunggak baik daripada polis atau JPJ.

Justeru, katanya, jabatan berkenaan akan bekerjasama dengan polis dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bagi

mendapatkan maklumat berkaitan sebelum mengambil tindakan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2017 @ 5:35 PM