PERGERAKAN C tren Al-Mashher Al-Mugaddasah Metro Southern Line (MMMSL), membawa jemaah dari Arafah ke Mudzalifah untuk bermalam (MABIT) selepas wukuf. FOTO Bernama
PERGERAKAN C tren Al-Mashher Al-Mugaddasah Metro Southern Line (MMMSL), membawa jemaah dari Arafah ke Mudzalifah untuk bermalam (MABIT) selepas wukuf. FOTO Bernama
Nasharuddin Muhammad


JEMAAH haji Malaysia kini berada di Mina untuk meneruskan manasik haji iaitu mabit dan melontar di Jamrah selepas selesai berwukuf di Arafah semalam.

Di Arafah, sejurus terbenam matahari atau masuk waktu maghrib, jemaah mula bertolak secara berperingkat menaiki bas ke Muzdalifah untuk mabit, antara perkara wajib haji yang perlu dilaksanakan.

Waktu mabit di Muzdalifah bagaimanapun hanya bermula selepas masuk separuh malam pada 9 Zulhijjah iaitu kira-kira 11.45 malam.

Di Muzdalifah, jemaah disunatkan untuk mengutip tujuh anak batu bagi melontar Jamrah Kubra pada 10 Zulhijjah.

Bagaimanapun, pada musim haji kali ini, jemaah Malaysia tidak lagi perlu berbuat demikian kerana pengurusan muassasah sudah menyediakan anak batu berkenaan yang dimasukkan dalam uncang.

Selepas selesai bermabit walaupun hanya seketika dengan tempohnya berakhir sebaik terbit fajar pada 10 Zulhijjah, jemaah terus bergerak ke Mina.

Sebahagian besar jemaah Malaysia akan berada di Mina sehingga 13 Zulhijjah kecuali sebahagian mereka yang membuat Nafar Awal.

Di Mina, jemaah akan melontar Jamrah Kubra pada 10 Zulhijjah diikuti ketiga-tiga jamrah - Kubra, Sughra dan Wusta pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah.

Bagi jemaah Malaysia, mereka perlu mematuhi waktu melontar yang sudah disusun pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) demi keselesaan dan keselamatan mereka.

Selepas selesai melontar nanti pada 13 Zulhijjah, jemaah akan pulang semula ke Makkah bagi melengkapkan tawaf dan saie haji mereka, seterusnya bertahalul.

Dengan itu, lengkaplah perjalanan kerohanian dan manasik haji mereka sebagai dhuyufurrahman sebelum berangkat pulang ke tanah air secara berperingkat mengikut jadual penerbangan ditetapkan.

Bagi jemaah yang terlebih dulu tiba untuk menziarahi kota kedua paling suci dalam Islam, Madinah sebelum ke Makkah tempoh hari, mereka akan berangkat pulang ke tanah air.

Bagi jemaah yang belum berbuat demikian apabila tiba di Makkah terlebih dulu, mereka akan bertolak ke Madinah untuk menziarahi Makam Rasulullah SAW dan peluang beribadat di Masjid Nabawi serta ziarah luar lokasi menarik dan bersejarah di sekitar kota berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 September 2017 @ 6:23 PM