(Dari kiri) Mazlan, Thai Quen dan Nor Sabariah dihadapkan ke mahkamah. FOTO Asyraf Hamzah
(Dari kiri) Mazlan, Thai Quen dan Nor Sabariah dihadapkan ke mahkamah. FOTO Asyraf Hamzah
Murni Wan Omar


TIGA individu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan membuat pernyataan menghina Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Facebook.

Pegawai pengambilan pekerja, Nor Sabariah Abdul Kadir, 29; penjaga stor, Ng Thai Quen, 19 dan penebar roti canai, Mazlan Yusoff, 48, mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Zainal L Salleh.

Nor Sabariah dan Ng didakwa menggunakan nama profil masing-masing di Facebook secara sedar membuat serta memulakan penghantaran komen jelik dengan niat menyakitkan hati orang lain.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Tingkat 11, Menara A, Pandan Kapital, Jalan Pandan Utama, Pandan Indah, di Kuala Lumpur antara 15 Disember 2016 dan 1 Februari lalu.

Sementara itu, Mazlan didakwa menggunakan nama 'Zain Al Aznam' di Facebook secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komen jelik dengan niat menyakitkan hati orang lain.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Tingkat 2, Jalan Bandar 13, Taman Melawati, pada jam 2.53 pagi, 11 November tahun lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), yang boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan masing-masing diikat jamin RM3,000 dan menetapkan 27 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Ogos 2017 @ 2:59 PM