ANTARA aktiviti sokongan diadakan sepanjang program berlangsung.
ANTARA aktiviti sokongan diadakan sepanjang program berlangsung.
Oleh Ramlah Zainal

Objektif program realiti TV Aku Ikon Patriotik (Aku IP) sempena sambutan 40 tahun Biro Tatanegara (BTN) adalah untuk menyemarakkan lagi kecintaan kepada negara melalui platform yang lebih popular dalam kalangan generasi muda.

Timbalan Ketua Pengarah, Operasi dan Latihan BTN Dr Hanafi Harun berkata, semangat cintakan negara ini mesti dididik kerana ia tidak akan datang dengan sendirinya tanpa pemahaman jalur sejarah negara.

"Justeru, anak-anak muda sekarang beruntung kerana mempunyai program seperti Aku IP ini.

"Program ini boleh membantu mereka lebih cintakan negara melalui cara pembelajaran yang sungguh menyeronokkan menerusi cabaran yang berfokus kepada memupuk semangat patriotisme di seluruh Malaysia," katanya.

Hanafi berkata, menerusi program ini seramai 28 peserta terbabit dalam program ini diuji dengan pelbagai aktiviti lasak, kebudayaan, ujian minda dan kreativiti sepanjang cabaran berkenaan.

"Bagi memeriahkan perjalanan setiap pasukan dalam menghadapi cabaran di setiap negeri, pelbagai program dan aktiviti sokongan diadakan di lokasi kawasan tumpuan di setiap negeri yang ditetapkan.

"Antaranya ialah pengkisahan tokoh, wayang pacak kenegaraan dan pameran sejarah negara.

"Aktiviti sokongan ini diharap dapat menyemarakkan lagi semangat patriotik dan cintakan negara, perpaduan dalam kepelbagaian kaum dan budaya serta penceritaan berkaitan patriotisme kepada setiap peserta dan penduduk setempat," katanya.

Program Aku IP yang membabitkan sebanyak 16 episod sudah bersiaran di TV3 sejak November lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Disember 2014 @ 5:02 AM