Gajah pygmy betina yang mati dipercayai ditembak di sebuah ladang kelapa sawit berhampiran Hutan Simpan Malua, Kinabatangan. - Foto Ihsan Pembaca
Gajah pygmy betina yang mati dipercayai ditembak di sebuah ladang kelapa sawit berhampiran Hutan Simpan Malua, Kinabatangan. - Foto Ihsan Pembaca
Junaidi Ladjana

Email:

SEEKOR gajah pygmy betina yang mati di sebuah ladang kelapa sawit berhampiran Hutan Simpan Malua, Kinabatangan, Sabah, semalam, mempunyai beberapa kesan tembakan

Ketika ditemui, gajah itu ditemui masih hidup oleh sekumpulan pekerja ladang kira-kira 7 pagi sebelum melaporkannya kepada pihak berkuasa, namun ia mati tidak lama kemudian.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah Augustine Tuuga berkata, pegawainya bersama doktor haiwan ke lokasi untuk menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kematian haiwan berkenaan.

"Hasil pemeriksaan, kita temui tiga kesan tembakan, namun belum dapat dipastikan kerana saya masih menunggu laporan pegawai yang menjalankan siasatan.

"Motif haiwan liar itu ditembak belum dapat dipastikan kerana gading anggota tubuhnya tidak diambil," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pagi tadi, Pusat Lapangan Danau Girang (DGFC), iaitu sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membuat kajian berkaitan hidupan liar di Sabah menerusi laman Facebook mereka berkongsi rakaman video gajah berkenaan.

Video satu minit tujuh saat itu dipercayai dirakam pekerja ladang menunjukkan gajah berkenaan masih hidup dengan tubuhnya cedera, dipercayai kesan tembakan.

Hujung tahun lalu, dua gajah termasuk seekor yang memiliki gading membengkok ke bawah, menyerupai haiwan prasejarah ditemui mati di Hutan Simpan Kawag, Lahad Datu.

Ketika ditemui pada 31 Disember, gajah jantan dianggar berumur 25 tahun dinamakan Sabre yang mempunyai gading membengkok ke bawah sudah tinggal rangka dengan gadingnya hilang dipercayai diambil pemburu haram.

Pada 27 Disember, bangkai seekor lagi gajah dianggar berusia 40 tahun ditemui dengan kepalanya dipotong manakala gadingnya hilang dalam ladang sawit bersempadan Hutan Simpan Kawag.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Ogos 2017 @ 4:05 PM