Pengumuman kononnya oleh Kelab Atheist Republic Kuala Lumpur yang tular di media sosial baru-baru ini.
Pengumuman kononnya oleh Kelab Atheist Republic Kuala Lumpur yang tular di media sosial baru-baru ini.
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


KERAJAAN akan menyiasat dakwaan kewujudan Kelab Atheist Republic Kuala Lumpur yang turut dianggotai orang Islam seperti tular di media sosial baru-baru ini.

Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, jika benar wujud, perkara itu membimbangkan kerana membabitkan usaha pihak tertentu untuk memesongkan akidah umat Islam.

“Jika ia membabitkan soal akidah umat Islam, kuasa menguatkuasakan sudah ada melalui enakmen jenayah syariah peringkat negeri masing-masing manakala di peringkat Wilayah Persekutuan, tertakluk di bawah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

"Kerajaan memandang serius perkara ini dan akan memantau dakwaan berkenaan kerana ia perkara serius membabitkan akidah umat Islam," katanya selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Indera Mahkota di Indera Mahkota, Pahang, hari ini.

Asyraf Wajdi berkata demikian mengulas kebimbangan masyarakat mengenai kewujudan Kelab Atheist Republic Kuala Lumpur turut dianggotai orang Islam yang secara terang-terangan menyertai perjumpaan kumpulan itu sebelum menjadi tular baru-baru ini.

Tindakan kumpulan itu dibimbangi masyarakat bukan saja memesongkan akidah umat Islam malah menggugat kestabilan negara melalui perpecahan ummah.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, selain tindakan undang-undang, kerajaan juga akan menjalankan sesi penerangan dan pendidikan bagi mengembalikan semula akidah umat Islam yang terpesong dengan gerakan atheist.

“Ia dilakukan sejak dulu lagi, di peringkat Kementerian Pendidikan tinggi kita ada guru mengajar mata pelajaran Pendidikan Islam yang menjadi komponen terpenting dalam pengukuhan akidah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Ogos 2017 @ 6:31 PM