Marzuki (kanan) menerima anugerah daripada Asyraf Wajdi.
Marzuki (kanan) menerima anugerah daripada Asyraf Wajdi.
Asrizal Aris


Kuala Lumpur: Kekurangan diri tidak menghalang seorang lelaki cacat pendengaran dan pertuturan dipilih sebagai salah seorang penerima Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan 2016.

Yang Dipertua Persatuan Orang Pekak Islam Malaysia, Marzuki Ong Maliki Ong, 45, menerima Anugerah Khas orang kurang upaya (OKU) Cemerlang selepas banyak menyumbang kepada masyarakat melalui pendidikan khas dan pendidikan Islam.

Marzuki berkata, pada mulanya dia terkejut selepas namanya dipilih untuk menerima anugerah berkenaan kerana masih menganggap belum cukup sempurna tambahan pula masih baru memegang jawatan tertinggi.

“Penerimaan anugerah ini adalah untuk semua komuniti pekak Muslim. Meskipun kekurangan kami membataskan aktiviti dakwah kami namun semangat dan kerjasama dari semua Muslim pekak menjadikan kami antara OKU yang berjaya.

“Kami juga berbangga kerana negara ini semakin ramai komuniti pekak yang sudah mencipta nama terutamanya pasukan bola sepak orang pekak kebangsaan yang menunjukkan prestasi mengagumkan,” katanya dalam temubual bertulis bersama Harian Metro di Dewan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), di sini, semalam.

Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, dia menekankankan umat Islam negara ini supaya berjiwa besar dan memastikan kekuatan ummah bersandarkan persaudaraan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Disember 2016 @ 6:22 AM