ANGGA (dua dari kiri) menang wang tunai RM2,500. FOTO Hazril Md Nor
ANGGA (dua dari kiri) menang wang tunai RM2,500. FOTO Hazril Md Nor
Hazril Md Nor


“Alhamdulillah, berbaloi terbang jauh dari Jakarta, Indonesia untuk bertanding dalam kejohanan ini. Hadiah kemenangan ini untuk ibu dan ayah saya."

Itu kata Angga Pamungkas, 19, yang dinobat juara bagi pusingan kelayakan pertama kejohanan Borneo e-Arena FIFA 17 di MAEPS, Serdang, Selangor hari ini.

Angga membawa pulang wang tunai RM2,500 dan terpilih sebagai seorang daripada tujuh peserta bertuah untuk ke kejohanan utama di Kota Kinabalu, Sabah pada 15 hingga 17 September ini.

Menurutnya, ibu dan ayahnya sentiasa beri sokongan dan tidak halang minatnya untuk menjadikan 'game' sebagai kerjaya.

"Mereka nampak hala tuju saya dalam bidang ini. Sejak saya menyertai kejohanan tempatan dan memenangi wang tunai, mereka mula menyokong sehingga kini.

"Saya buat keputusan untuk terus menyertai kejohanan di Malaysia kerana di sini persaingannya lebih sengit selain hadiah wang tunai lumayan," katanya yang mula bermain 'game' secara kompetitif sejak dua tahun lalu.

Angga bersama empat lagi rakannya hadir ke acara ini dengan mendapat tajaan daripada pasukan Zeus Gaming di Indonesia.

"Pemain 'game' bertaraf profesional tak perlu lagi bersusah payah kumpul duit sendiri. Dari tiket penerbangan hinggalah penginapan, semuanya ditanggung oleh syarikat.

"Kerjaya ini mula dipandang serius dan tak mustahil suatu hari nanti kami akan diberikan insentif bulanan dan peluang untuk mengambil bahagian dalam kejohanan peringkat antarabangsa," katanya.

Pusingan akhir kejohanan Borneo e-Arena akan berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah pada 15 hingga 17 September ini.

Enam belas peserta termasuk dari Indonesia, Zimbabwe, Sudan dan beberapa negara Timur Tengah akan berentap dalam permainan FIFA 17 untuk merebut wang tunai terkumpul RM30,000.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Ogos 2017 @ 6:04 PM