GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


ENAM lelaki ditahan polis, semalam selepas dipercayai menceroboh dan merusuh di rumah di Padang Sera, Kodiang, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, penahanan suspek berusia 20 hingga 30 tahun susulan laporan dibuat pemilik rumah berusia 46 tahun semalam selepas kediamannya diceroboh dan mereka sekeluarga dipukul sekumpulan lelaki, 9.30 malam Ahad lalu.

Menurutnya, ketika kejadian mereka yang berada di rumah terkejut apabila didatangi 23 lelaki menaiki lima kereta memegang batang besi.

"Suspek kemudian memberitahu ingin mencari anak saudara mangsa berusia 16 tahun sebelum 12 lelaki terus masuk ke dalam rumah menyebabkan mangsa bersama seorang lagi adik lelakinya, 38, cuba menghalang namun ditolak sebelum dipukul dengan kerusi plastik selain diugut mereka memiliki pistol.

"Suspek turut menendang pintuk bilik dan memukul ibu serta anak saudaranya dengan kerusi plastik sebelum mereka beredar," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Ismail berkata, akibat kejadian itu, keluarga terbabit mengalami kecederaan di mana anak saudara mangsa lebam di hidung, tangan kanan, bahu kiri dan pipi manakala ibunya lebam tangan kiri dan mangsa serta adiknya cedera.

"Siasatan mendapati anak saudaranya mengenali beberapa orang suspek yang juga kenalannya manakala sekumpulan lelaki lain tidak dikenali.

"Kita masih menyiasat punca kejadian keluarga terbabit diserang kerana mangsa tidak mengetahui motif sebenar mereka diserang," katanya.

Beliau berkata, susulan laporan dibuat mereka, polis kemudian mengesan suspek dan berjaya menahan enam lelaki yang terbabit dalam kejadian itu.

"Ujian saringan air kencing mendapati mereka negatif dadah dan suspek kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan 448 akta sama kerana menceroboh dan merusuh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Ogos 2017 @ 3:40 PM