Tengku Yolhendri dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini. FOTO Syafiq Ambak
Tengku Yolhendri dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini. FOTO Syafiq Ambak
Zatul Iffah Zolkiply


BURUH dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu kerana mengemukakan dokumen palsu bagi mendapatkan Dana Bantuan Banjir bernilai RM500.

Tertuduh, Tengku Yolhendri Tengku Nazeri, 31, turut berdepan hukuman enam bulan penjara jika gagal menjelaskan denda berkenaan.

Keputusan itu dibuat Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz selepas tertuduh mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 456 akta yang sama.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menggunakan satu dokumen iaitu Borang Penyampaian Dana Bantuan Banjir Dewan Undangan Negeri (DUN) Chukai 2014 yang mana tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai dokumen itu adalah palsu bagi memperoleh Dana Bantuan Banjir bernilai RM500.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Kemaman pada 6 Mei 2014.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Farah Yasmin Salleh manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Ogos 2017 @ 12:58 PM