Hayati Ibrahim

TEMPOH reman terhadap dua pegawai pengurusan kanan syarikat berasingan dilanjutkan empat hari lagi bagi membantu siasatan berhubung kes pembelian sebuah hotel empat bintang di Kingston, London oleh Felda Investment Corporation (FIC).

Perintah tahanan reman bermula esok dikeluarkan Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan dua pegawai berkenaan ditahan reman enam hari untuk membantu siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kedua-dua lelaki masing-masing berusia 36 dan 45 tahun adalah ketua unit harta sebuah syarikat perkhidmatan pos dan pengarah sebuah syarikat perundingan aset disyaki terbabit dalam penilaian harta serta harga bagi pembelian hotel berkenaan.

Mereka ditahan di ibu pejabat SPRM Putrajaya kira-kira 1 tengah hari Jumaat lalu selepas hadir memberi keterangan mengenai pembelian hartanah itu di antara 2013 dan 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Julai 2017 @ 11:58 AM
Pegawai SPRM membawa dua pengurusan kanan syarikat berasingan ke Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini. FOTO Abd Rahim Rahmat
Pegawai SPRM membawa dua pengurusan kanan syarikat berasingan ke Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini. FOTO Abd Rahim Rahmat