Empat pengawal keselamatan warga Nepal yang ditahan JIM. FOTO ihsan JIM
Empat pengawal keselamatan warga Nepal yang ditahan JIM. FOTO ihsan JIM
Mohd Hasbi Sidek


EMPAT pengawal keselamatan warga Nepal ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM)di kondominium di USJ 1, Subang Jaya dalam Ops Kutip, pada 7 malam hari ini kerana tiada dokumen perjalanan yang sah.

Ketua Pengarah JIM Datuk Seri Mustafar Ali berkata, pihaknya turut memberi notis untuk hadir ke pejabat JIM terhadap seorang lelaki warga tempatan dipercayai penyelia pengawal keselamatan.

"Seramai lima pengawal keselamatan diperiksa dan hasilnya empat lelaki warga Nepal ditahan kerana melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

"Manakala seorang lagi lelaki dipercayai penyelia pengawal keselamatan warga Malaysia diberi notis untuk hadir ke pejabat imigresen bagi memberi keterangan lanjut dan membantu siasatan," katanya.

Beliau berkata, semua yang ditahan berusia dalam lingkungan 30-an dibawa ke Ibu Pejabat JIM Putrajaya untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

"Pihak kami mahu mengingatkan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai PATI atau sebarang informasi yang boleh membantu JIM dalam melaksanakan penguatkuasaan agar tampil menyalurkannya," katanya.

Pengawal keselamatan berkenaan dipercayai individu sama yang terbabit dalam insiden dengan petinju seni mempertahankan diri campuran (MMA) 17 Julai lalu.

Harian Metro 18 Julai lalu melaporkan satu video yang memaparkan pergaduhan petinju MMA itu dengan pengawal keselamatan di kondominium berkenaan tular di laman sosial.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 5 petang selepas petinju berkenaan dikatakan cuba memasuki kawasan kediaman berkenaan, namun tidak dibenarkan pengawal keselamatan di apartmen itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Julai 2017 @ 11:54 PM