MOHD Amar
MOHD Amar
Siti Nor Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Tiada pengecualian sebaliknya warga emas yang melakukan kesalahan syariah akan turut dikenakan hukuman sebat seperti pesalah lain yang masih muda.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, warga emas yang disabitkan bersalah akan menjalani pemeriksaan kesihatan dulu bagi mengelak sebarang implikasi lain.

“Kita tidak kejam, golongan emas perlu menjalani pemeriksaan doktor dulu, sebelum boleh menjalani hukuman sebat.

“Malah, hukuman terbabit (sebat) layak dilakukan kepada mereka yang berusia 18 tahun dan ke atas,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat EXCO di Kota Darulnaim, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Mohd Amar berkata, bagi pesalah wanita yang disabit hukuman sebat, mereka akan menjalani hukuman seperti pesalah lelaki dalam keadaan aurat ditutup.

Katanya, hukuman yang berlangsung akan dipastikan mengikut spesifikasi ditetapkan dan tidak membuka aib mana-mana pihak.

“Aurat semua dijaga terutama pesalah wanita. Mereka juga disebat tukang sebat lelaki yang dilantik.

“Tiada masalah (tukang sebat lelaki) kerana pesalah terbabit berpakaian menutup aurat dan disebat di atas pakaian serta tidak bersentuhan antara satu sama lain.

“Lagipun, dalam Islam pesalah syariah mesti berpakaian lengkap dan tidak seperti kesalahan sivil (disebat tanpa pakaian).

“Sebatan juga dibenar di bahagian belakang badan kecuali kepala dan leher. Ada perbezaan antara sebatan syariah dan sivil,” katanya.

Mohd Amar berkata, kerajaan negeri tidak akan campur tangan berhubung lokasi hukuman, sebaliknya ia ditentukan oleh Mahkamah Syariah.

Katanya, Kelantan bukan negeri pertama bakal melaksanakan hukuman sebat di tempat terbuka kerana sebelum ini pernah dijalankan di Sabah.

Pada 12 Julai lalu, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan meluluskan 35 pindaan dalam Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 (Pindaan 2017).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Julai 2017 @ 6:30 AM