Antara 22 penagih dadah yang ditahan AADK dan polis serta senjata yang dirampas. FOTO Ihsan AADK
Antara 22 penagih dadah yang ditahan AADK dan polis serta senjata yang dirampas. FOTO Ihsan AADK
Nur Syazwana Mansor


DUA puluh dua penagih ditahan dalam Operasi Cantas Bersepadu oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang dan Balai Jenun, di ladang kelapa sawit, Kebun Tok, Ayer Putih, Pendang semalam.

Dalam serbuan itu, pihak berkuasa turut merampas beberapa jenis senjata termasuk pedang samurai dan sebilah pisau.

Pemangku Ketua Pegawai AADK Pendang Nazir Kassim berkata, serbuan dijalankan bermula jam 6 pagi hingga 12 tengah hari disertai seramai 10 anggota AADK Pendang serta tujuh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurutnya, ketika operasi, semua suspek yang berusia 17 hingga 55 tahun itu sedang leka menghisap dadah sebelum cuba meloloskan diri sebaik sahaja menyedari kehadiran pihak berkuasa.

"Operasi yang dijalankan ini berdasarkan maklumat orang awam yang menyedari aktiviti penagihan dadah di ladang kelapa sawit berkenaan.

"Pihak kami sudah melakukan risikan selama hampir seminggu bagi memastikan kesahihan maklumat itu sebelum serbuan dilakukan.

"Kawasan itu bukan sahaja menjadi port buat penagih tempatan malah untuk penagih dari luar kawasan Pendang," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, semua yang ditahan dibawa ke pejabat AADK daerah dan saringan ujian air kencing mendapati kesemua mereka positif dadah jenis opiat dan methamphetamine.

"Seramai 18 individu akan disiasat mengikut seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah ( Rawatan & Pemulihan ) 1983 manakala empat individu lagi diserahkan kepada pihak PDRM dan akan disiasat mengikut seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Julai 2017 @ 1:34 PM