Lambakan pendatang asing di Lebuh Pudu yang mengambil kesempatan berjumpa sempena cuti Aidilfitri baru-baru ini. - Foto Fail/SUPIAN AHMAD
Lambakan pendatang asing di Lebuh Pudu yang mengambil kesempatan berjumpa sempena cuti Aidilfitri baru-baru ini. - Foto Fail/SUPIAN AHMAD
BERNAMA

PENDUDUK Malaysia tahun ini dianggar berjumlah 32 juta dengan 28.7 juta adalah warganegara manakala selebihnya bukan warganegara.

Menurut kenyataan Jabatan Statistik hari ini, secara keseluruhan, jumlah penduduk negara ini bertambah 1.3 peratus berbanding 31.6 juta pada tahun lalu.

Jumlah penduduk lelaki tahun ini melebihi perempuan dengan nisbah jantina bagi tempoh 2016-2017 kekal pada 107 lelaki bagi setiap 100 perempuan.

Peratusan penduduk berusia antara 0 hingga 14 tahun pada 2017 menurun kepada 24.1 peratus berbanding 24.5 peratus pada 2016.

Menurut jabatan itu, peratusan penduduk berusia antara 15 hingga 64 tahun meningkat daripada 69.5 peratus pada 2016 kepada 69.7 peratus tahun ini.

"Pertambahan penduduk dalam kumpulan usia ini menyumbang kepada peningkatan usia median (28.3 tahun)," katanya.

Jabatan itu berkata anggaran semasa penduduk bagi tempoh 2016-2017 yang dibuat berdasarkan Banci Penduduk dan Perumahan 2010 (Banci 2010), mengambil kira tiga komponen utama perubahan penduduk iaitu kelahiran, kematian dan penghijrahan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Julai 2017 @ 8:36 PM