KEADAAN lori yang remuk selepas terbabit dalam kemalangan. FOTO ihsan Bomba
KEADAAN lori yang remuk selepas terbabit dalam kemalangan. FOTO ihsan Bomba
Zuliaty Zulkiffli


KELINDAN maut tersepit dalam lori yang dinaikinya selepas terbabit kemalangan dengan treler di Kilometer 170.4 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, berhampiran Bandar Baharu, hari ini.

Difahamkan ketika kejadian 5.20 pagi itu lori berkenaan dalam perjalanan menghantar barang dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang sebelum terlanggar belakang treler.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serdang, Pegawai Bomba Kanan II Muhd Farid Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 5.25 pagi dan tiba di lokasi 21 minit kemudian bersama empat anggota, sebuah jentera dan Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS).

Beliau berkata, mereka turut dibantu anggota bomba dari BBP Parit Buntar, Perak ketika operasi mengeluarkan mangsa.

"Pihak kami mengambil masa kira-kira lima minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas sebelum dia disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pakar perubatan dari hospital berhampiran.

"Mayat mangsa dikenali sebagai L Vasudevan, 21, diserahkan kepada pihak polis manakala pemandu lori, V Nalson, 26, yang cedera dihantar ke hospital berhampiran untuk rawatan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Muhd Farid berkata, operasi tamat pada 6.45 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Julai 2017 @ 9:42 AM