Lam Thye bersama pengurusan sekolah dan murid.  FOTO Suzaini Sulaiman
Lam Thye bersama pengurusan sekolah dan murid. FOTO Suzaini Sulaiman
Suzaini Sulaiman


YAYASAN Eco World tadi, menyerahkan 180 set kerusi meja kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yoke Yuan di sini.

Sumbangan berjumlah RM29,000 itu antara tanggungjawab korporat sosial (CSR) yayasan berkenaan kepada sekolah yang berusia 72 tahun terbabit.

Pengerusi Yayasan Eco World Tan Sri Lee Lam Thye berkata, objektif utama pihaknya bertujuan membantu murid sekolah berkenaan menjalani proses pembelajaran dengan lebih baik.

“Kami mahu memenuhi keperluan asas di sekolah dan mengucapkan tahniah kepada guru besar dan semua guru yang bertungkus lumus mendidik murid dalam membentuk modal insan.

“Yayasan akan membantu mana-mana sekolah di negara ini supaya institusi pendidikan terbabit dapat beroperasi dalam suasana terbaik kerana keperluan seperti kerusi dan meja merupakan kemudahan asas untuk belajar,” katanya.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Eco World Datuk Kapten (B) Liew Siong Sing dan Guru Besar sekolah itu Low Sau Kin.

Kata Lam Thye, yayasan sudah menyumbang 2,700 set kerusi meja berjumlah RM370,000 kepada sekolah terpilih bermula awal tahun ini.

Murid tahun empat sekolah berkenaan, Nur Aliya Batrissya Ahmad Azman, 10, berkata, dia gembira dan menghargai sumbangan berkenaan.

“Kini, kami boleh belajar dengan lebih selesa berbanding sebelum ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Julai 2017 @ 4:22 PM