ANGGOTA FRU dikasari ‘penunjuk perasaan’ dalam latihan amal Ex-Rimau 2017.
ANGGOTA FRU dikasari ‘penunjuk perasaan’ dalam latihan amal Ex-Rimau 2017.

Kuala Lumpur: Kawasan sekitar Kuala Lumpur City Centre (KLCC), di sini, semalam, gempar apabila sekumpulan lelaki secara tiba-tiba ‘merusuh’ serta mencetuskan kekecohan dengan membaling botol ke arah orang ramai yang berada di kawasan itu.

Lebih 20 lelaki berpakaian hitam, bertopeng dan mengibar bendera merah berada di kawasan tumpuan pelancong itu kira-kira jam 10 pagi dan dilihat memaki hamun pihak polis serta pengawal keselamatan apabila diminta bersurai secara aman.

Mereka turut bertindak merempuh dan memukul anggota polis sebelum anggota Polis Simpanan Persekutuan (FRU) melepaskan tembakan meriam air bagi menyuraikan mereka.

Bagaimanapun, insiden selama satu jam itu hanyalah latih amal Ex-Rimau 2017 sebagai persiapan menghadapi Sukan SEA Ke-29 yang akan berlangsung bulan depan.

PDRM dalam kenyataan kelmarin berkata, pegawai dan anggota polis akan berada di sekitar lokasi itu bagi latih amal yang bermula semalam hingga hari ini dari jam 8 pagi hingga 2 petang.

Kenyataan itu berkata, latih amal berkenaan meliputi pelbagai elemen Polis Diraja Malaysia (PDRM) iaitu Unit Pemusnah Bom (UPB), Unit Tindakan Khas (UTK), 69 Komando, Pasukan Polis Marin (PPM), Pasukan Gerakan Udara (PGU), Pasukan Gerakan Am (PGA), FRU, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) serta anggota-anggota tugas am. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Julai 2017 @ 7:18 AM