IBU bapa menyambut Anis  bersama suami  dan cucu mereka.
IBU bapa menyambut Anis bersama suami dan cucu mereka.
Asmah Rusman


Kuala Lumpur: Aidilfitri seribu rahmat. Selain meraikan kejayaan menunaikan puasa sebulan dan pelbagai ibadah lain, hari raya memberi peluang mengeratkan ukhuwah serta silaturahim.

Kedatangan Syawal pastinya tidak ceria tanpa kehadiran orang tersayang apatah lagi bagi sesetengah kita, beraya di kampung seakan menjadi kewajipan setiap tahun.

Menyedari perkara itu, Bank Simpanan Nasional (BSN) tampil dengan inisiatif
di bawah Kempen Riuhkan Raya BSN 2017 yang membawa pulang penuntut terpilih dari luar negara untuk menyambut Aidilfitri bersama keluarga.

Melalui kempen yang diadakan bermula 17 April hingga 19 Julai itu, BSN menaja tiket penerbangan pergi dan balik tiga pelajar cemerlang yang sudah lama tidak pulang ke tanah air.

Tiga pelajar berkenaan ialah penuntut Universiti Kagoshima, Jepun yang kini mengikuti pengajian doktor falsafah (PhD) Kejuruteraan Mekanikal, Anis Farhana Ibrahim, 28, penuntut Sarjana Perubatan, Universiti Al-Azhar, Mesir, Mohammad Rofizzulhisyam Abd Rahman, 24 dan pelajar Sarjana Muda Perubatan Bangalore Medical College, India, Hafizah Che Ahmed, 24.

Ternyata pertemuan yang diaturkan pihak BSN dengan keluarga masing-masing di kampung halaman berlangsung dengan penuh emosi terutama ketika ahli keluarga tidak menjangkakan bahawa pada perayaan tahun ini, BSN memberikan kejutan yang paling bermakna dan dekat di hati mereka.

Jelas terpancar sinar kegembiraan di wajah kedua-dua ibu bapa yang tidak mampu diucapkan dengan kata-kata apabila melihat insan tersayang berada di depan mata dan pulang meraikan hari perayaan bersama-sama pada tahun ini.

Ketua Komunikasi Strategik BSN, Puspa Marina Omar berkata, kempen itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) BSN yang diadakan sempena Hari Raya tahun ini.

“Sedikit kelainan pada kempen Ramadan dan Hari Raya kami pada tahun ini. BSN bukan sahaja memberi bantuan bagi persediaan perayaan tetapi kami amat berbesar hati kerana pada tahun ini turut berpeluang memberikan kejutan bermakna buat para pelanggan kami.

“BSN menaja kepulangan penuntut dari luar negara melalui kerjasama dengan pelbagai agensi termasuk MARA dengan mengenal pasti mereka yang cemerlang dan sudah lama tidak pulang ke tanah air. Orang ramai boleh saksikan video kejutan kepulangan ini di Facebook BSN Malaysia dan laman myMetro TV,” katanya.

Kempen Riuhkan Raya BSN ini
dilaksanakan menerusi 3 segmen iaitu Segmen 1: Peraduan produk pembiayaan kewangan di mana pelanggan yang berjaya mendapat mana-mana kemudahan pembiayaan dengan BSN sama ada pembiayaan peribadi, perumahan dan lain-lain.

Manakala Segmen 2 merupakan peraduan di Facebook BSN Malaysia iaitu Peraduan Seloka Raya di sosial media dari 1 Jun hingga 16 Jun 2017 dan Segmen 3 yang fokus kepada aktiviti tanggungjawab sosial yang menaja tiket penerbangan pulang beraya.

Bagi segmen 1 & 2 seramai 800 pemenang menerima baucar hadiah bernilai RM200
di Jakel dan Mydin, petrol di Petronas, tambah nilai kad Touch n Go dan hiasan rumah di SSF Home Deco.

Kempen ini adalah lanjutan daripada kempen Ramadan dan Hari Raya BSN pada tahun-tahun lalu iaitu kempen #BSNkataYangPentingIkhlas dan kempen #BSN40Kebaikan yang bertujuan
memberi balik serta membantu
para pelanggannya pada bulan
Ramadan dan menjelang hari raya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Julai 2017 @ 5:33 AM