Fardy Bungga


SUAMI isteri ditemui mati di rumah mereka di Lembah Permai, Ampang dipercayai membunuh diri kerana menanggung banyak hutang.

Pasangan berusia 41 dan 36 tahun itu membunuh diri dengan melemaskan diri menghidu asap arang yang dibakar di dalam rumah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata, mayat pasangan terbabit ditemui di bilik kedua pangsapuri mereka dan siasatan mendapati tiada sebarang unsur jenayah dikesan di rumah ataupun mayat mangsa.

Katanya, siasatan lanjut mendapati terdapat saksi yang memberitahu kedua-dua mangsa mempunyai hutang yang banyak.

"Mayat pasangan berkenaan dihantar ke unit forensik Hospital Canselor Tuanku Muhriz untuk proses bedah siasat.

"Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR),"katanya ketika dihubungi, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Julai 2017 @ 4:53 PM