Ekhwan Haque Fazlul Haque


ANJING dan kucing dalam radius 10 kilometer dari Kampung Paon Rimu, Serian akan divaksin bagi mengawal penyakit Rabies.

Antara kampung yang terbabit Kampung Paon Rimu, Kampung Paon Krait, Kampung Paon Rimu Bakung, Kampung Lebor dan Kampung Remun.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak mensasarkan 500 ekor anjing dan kucing di kawasan berkenaan akan divaksin Jabatan Perkhidmatan Veterinar dalam masa terdekat.

Menurutnya, penduduk di lima kampung berkenaan juga diminta untuk mendapatkan vaksin sekiranya digigit anjing dalam tempoh antara April hingga Julai ini.

"Kerajaan negeri mensasarkan operasi memvaksin anjing dan kucing di kawasan berkenaan dapat diselesaikan dalam tempoh beberapa hari lagi.

"Sehingga kini 68 penduduk di kampung berkenaan disahkan digigit anjing antara April hingga Julai lalu dan 27 daripadanya sudah mendapatkan vaksin," katanya dalam sidang media selepas meninjau operasi vaksinasi anjing dan kucing di Kampung Paon Rimu, Serian, hari ini.

Uggah juga meluangkan masa 30 minit melawat keluarga mangsa di Kampung Paon Rimu Bakung.

Beliau berkata, polis dan tentera di kawasan sempadan diminta untuk mempertingkatkan kawalan dengan tidak membenarkan pemilik anjing dan kucing dari Indonesia membawa masuk haiwan berkenaan.

Katanya, setakat ini operasi vaksinasi berjalan lancar dan penduduk dinasihatkan untuk mencegah penularan penyakit rabies.

"Kerajaan negeri yakin masalah rabies dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat dan mengguna pakai prosedur operasi standard yang digunakan di Kedah, Pulau Pinang dan Perlis dalam mengatasi penyakit ini beberapa tahun lalu," katanya.

Semalam, Monica Mazlan dan Jackson Mazlan masing-masing berusia enam dan empat tahun meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak mengidap rabies akibat digigit anjing Jun lalu.

Jenazah dua beradik itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Kristian Kampung Paon Rimu Bakung, 10 pagi tadi.

Berita berkaitan:

Dua mangsa virus rabies meninggal dunia

Tiga kanak-kanak positif rabies

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Julai 2017 @ 2:19 PM
UNGGAH (kanan) menandakan anjing yang disudah divaksin. FOTO Ekhwan Haque Fazlul Haque
UNGGAH (kanan) menandakan anjing yang disudah divaksin. FOTO Ekhwan Haque Fazlul Haque