BERNAMA

KERAJAAN negeri mengisytiharkan lima kampung di Serian sebagai kawasan dijangkiti penyakit anjing gila atau rabies dan mengeluarkan arahan agar semua anjing peliharaan di kawasan dalam lingkungan 10 kilometer (km) di situ, diberi vaksin penyakit terbabit.

Perkara itu diumumkan Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Kampung terbabit ialah Kampung Kerait, Kampung Paon Rimu, Kampung Paun Rimu Bakung, Kampung Remun dan Kampung Lebor.

Beliau berkata, pasukan pemberi vaksin sudah dihantar ke zon yang dijangkiti penyakit itu hari ini dan mereka juga akan mengunjungi kawasan lain.

“Bagi memastikan kejayaan operasi pemberian vaksin ini, kami memohon kerjasama penuh daripada semua pemilik anjing peliharaan supaya memastikan haiwan peliharaan mereka diberi vaksin dengan secepat mungkin,” kata Uggah selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri di pejabatnya, hari ini.

Tiga kanak-kanak di Serian dijangkiti rabies seperti yang diumumkan Hospital Umum Sarawak pada 22 Jun.

Dua daripada mereka, seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun dan kakaknya berusia enam tahun, meninggal dunia hari ini.

Mangsa ketiga, kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun, berada dalam keadaan kritikal.

Menjawab soalan pemberita, Uggah berkata, pihak berkuasa belum menentukan punca sebenar penularan wabak itu dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar sedang mengkaji perkara berkenaan.

Menurutnya, radius sekitar 10km ditetapkan kerana kebiasaannya, anjing yang dijangkiti penyakit itu hanya dapat bertahan selama tiga hingga sembilan hari sebelum mati dan apabila dijangkiti, pergerakan anjing berkenaan juga adalah terbatas.

Beliau seterusnya meminta orang ramai di kawasan terbabit supaya sentiasa berwaspada terhadap gigitan anjing atau kucing peliharaan dan segera mendapatkan rawatan sekiranya mengalami tanda-tanda jangkitan.

Beliau berkata, pihaknya bekerjasama rapat dengan Jabatan Kesihatan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), pihak berkuasa tempatan (PBT), pejabat daerah, klinik haiwan, Persatuan Pencegahan Penganiayaan Haiwan Sarawak (SSPCA) serta pelbagai agensi kerajaan negeri dan Persekutuan bagi mengawal dan membanteras penyakit itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Julai 2017 @ 9:28 PM