ANGGOTA bomba memeriksa dua rumah terbakar di Kampung Pantai 1, Tengkera, Melaka, hari ini. FOTO ihsan bomba.
ANGGOTA bomba memeriksa dua rumah terbakar di Kampung Pantai 1, Tengkera, Melaka, hari ini. FOTO ihsan bomba.
Rizanizam Abdul Hamid


KEHADIRAN Tahun Baharu 2020 disambut hiba enam penduduk di Kampung Pantai 1, Tengkera, Melaka apabila tiga rumah dihuni musnah terbakar, awal pagi hari ini.

Dalam kejadian 7 pagi itu, semua mangsa berusia antara 55 dan 75 tahun termasuk seorang orang kurang upaya (OKU) tidak sempat menyelamatkan harta benda berikutan kebakaran merebak dengan pantas.

Akibatnya semua mangsa hanya sempat lari menyelamatkan diri sehelai sepinggang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Kubu, Kamarulzaman Mohd Din berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.07 pagi.

Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi, pihaknya mendapati api sedang marak membakar dua rumah dan turut merebak ke rumah bersebelahan.

Katanya, seramai 23 anggota bomba termasuk jentera bomba dari Tangga Batu dan Padang Temu turut membantu mengawal kebakaran sebelum api dipadam sepenuhnya pada 10.15 pagi.

“Berdasarkan maklumat awal daripada saksi kejadian, dia ternampak kepulan asap dari tingkat atas rumah pertama didiami suami isteri warga emas bersama cucunya yang tiada di rumah ketika kejadian.

“Api kemudian menjadi bertambah besar dan merebak ke rumah kedua dihuni suami isteri berusia 60-an dan rumah ketiga bersebelahannya didiami dua beradik lelaki termasuk seorang OKU.

“Kedua-dua rumah musnah sepenuhnya manakala rumah ketiga terbakar 90 peratus menyebabkan semua mangsa tinggal sehelai sepinggang," katanya ketika dihubungi.

Kamarulzaman berkata, tindakan pantas bomba berjaya menyelamatkan sembilan rumah berdekatan daripada musnah susulan angin kencang yang menyebabkan api merebak dengan pantas.

Beliau berkata, punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan dan semua mangsa ditempatkan sementara di Balai Raya Kampung Chitty.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 January 2020 @ 2:54 PM