ORANG ramai beratur di kios mesin tiket layan diri seawal jam 9 pagi.
ORANG ramai beratur di kios mesin tiket layan diri seawal jam 9 pagi.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


Kuala Lumpur: Masih ramai warga kota yang memilih mendapatkan tiket pada saat akhir untuk pulang ke kampung halaman bagi meraikan Aidilfitri, tidak lama lagi.

Tinjauan Harian Metro di Terminal Bas Bersepadu (TBS) di Bandar Tasik Selatan, semalam mendapati orang ramai datang seawal jam 9 pagi untuk mendapatkan tiket ke destinasi masing-masing.

Semakan di kios mesin tiket layan diri mendapati perjalanan ke beberapa destinasi di utara seperti Alor Setar, Ipoh dan Butterworth, tiket masih ada pada hari ini dan esok, tetapi dalam jumlah yang terhad.

Begitu juga dengan perjalanan ke destinasi selatan seperti Batu Pahat, Kluang dan Johor Bahru.

Tiket ke hampir semua destinasi di pantai timur seperti Pasir Puteh, Kota Bharu, Kuala Terengganu, Dungun untuk tarikh 22, 23, 24 dan pagi raya sudah habis dijual.

Begitupun, suasana di TBS tidak sesesak di terminal bas lain kerana jualan tiketnya lebih teratur selain menggunakan sistem tiket berpusat yang membolehkan orang ramai membeli tiket ke destinasi seluruh negara dengan hanya menggunakan satu kaunter saja.

Selain itu, orang ramai juga boleh membeli tiket secara dalam talian dan hanya perlu mendapatkan pas masuk bas di kaunter yang disediakan sebelum berlepas.

Kakitangan swasta Mohd Amirul Aiman, 30, berkata, dia gembira kerana tiket pulang ke Ipoh untuk perjalanan petang ini masih ada meskipun membeli pada saat akhir.

“Saya membeli tiket sehala ke Ipoh menerusi kios mesin tiket layan diri dan ia ternyata lebih mudah serta cepat berbanding beratur di kaunter biasa.

“Namun tiket untuk perjalanan pagi (semalam) habis dijual dan yang tinggal hanyalah perjalanan pada petang dan malam saja,” katanya.

Bagi pelajar universiti awam Siti Maisarah Romli, 21, dia membeli tiket pada saat akhir kerana mahu menghabiskan tugasan dan urusan pengajian di universiti terlebih dulu sebelum pulang ke kampung halaman.

Katanya, dia tidak risau kerana tiket ke selatan biasanya lebih mudah diperoleh meskipun pada saat akhir berbanding destinasi ke pantai timur yang laris seperti pisang goreng panas.

“Saya sampai di TBS jam 9 pagi dan hanya beratur 10 minit sebelum membeli tiket untuk perjalanan petang ke Johor Bahru.

“Setiap tahun, memang saya beli saat akhir kerana tidak begitu sesak berbanding pada awal puasa,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Operasi Kanan TBS Faizal Redza Redzuan berkata, sebanyak 200,000 tiket disediakan untuk perjalanan bermula 22 Jun hingga 2 Julai.

Kata beliau, tiket ke utara dan selatan masih berbaki 20 peratus manakala ke pantai timur hampir terjual sepenuhnya menerusi 70 kaunter dan 12 mesin kios yang disediakan.

“Kita menambah 40 perjalanan pada setiap hari sepanjang waktu puncak (pada 22, 23, 24 Jun) dan secara keseluruhan sebanyak 1,300 perjalanan keluar dari stesen TBS ini.

“Orang ramai diminta mendapatkan tiket pulang ke kampung dengan segera dan jangan menunggu hingga hari terakhir kerana TBS dibuka 24 jam.

“Bagi yang sudah mendapatkan tiket, anda diminta datang sekurang-kurangnya sejam awal sebelum waktu pelepasan dan awasi anak-anak serta barangan berharga sepanjang berada di terminal ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Jun 2017 @ 7:25 AM