Muhamad Rizky dijaga bapa dan ibu angkat sejak berusia empat hari.
Muhamad Rizky dijaga bapa dan ibu angkat sejak berusia empat hari.
Asrizal Aris

 

SUAMI isteri meminta kerjasama orang ramai mengesan ibu kandung atau waris kepada seorang kanak-kanak berusia lapan tahun bagi membantu urusan dokumentasi pengambilan anak angkat.

  Kanak-kanak lelaki bernama Muhamad Rizky Aidil, 8, berada dalam jagaan bapa dan ibu angkatnya itu sejak berusia empat hari dan mahu mencari ibu kandungnya bernama Rosda Bani, 30-an dipercayai berasal dari Sabah.

Bapa angkat, Mohamad Razizi Abdul Rahim, 34, berkata, dia dan isterinya, Noorfaizlawaty Suratman, 35, mahu memproses hak penjagaan Muhamad Rizki sebagai anak angkat yang sah.

"Kami menghadapi masalah untuk menyekolahkan anak ini kerana tidak mempunyai surat beranak dan buat masa ini kami tempatkannya di sebuah Tahfiz di Kajang.

"Muhamad Rizky tidak mempunyai surat beranak sejak kecil kerana ibu kandungnya kehilangan kad pengenalan ketika melahirkan anak kelimanya itu lapan tahun lalu," katanya.

Menurutnya, Muhamad Rizky mempunyai empat lagi adik beradik dan tiga daripadanya diserahkan kepada orang lain untuk dijadikan sebagai anak angkat kerana ibu kandung mereka tidak mampu untuk menjaga mereka.

"Selepas mengambil Muhamad Rizky, kami terputus hubungan dengan ibu kandungnya kerana wanita itu sudah berpindah dari sebuah rumah di Klang.

"Kami memohon waris atau ibu kandung kanak-kanak itu tampil bagi membantu urusan dokumentasi," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung waris itu, boleh menghubungi Mohamad Razizi di talian 014-2250513 atau Selma Talib (ibu Razizi) di talian 019-2154166.

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Jun 2017 @ 9:01 PM