Mohd Nasif Badruddin


Pondok Moden al-Abaqirah (PMA) dicetuskan idea penubuhannya oleh Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri bagi melahirkan cendekiawan Islam yang mahir dalam ilmu agama dan ilmu duniawi selain daripada permintaan masyarakat untuk melihat kewujudan pondok moden di ibu kota.

Pondok yang dilancarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom pada 4 Julai 2015 bersamaan 17 Ramadan 1436 (genap dua tahun penubuhannya mengikut kalendar Hijrah hari ini) mempunyai signifikan tersendiri sesuai dengan tarikh Nuzul al-Quran yang bersifat membawa hidayah dan petunjuk kepada manusia.

Menurut Mudir PMA Ustaz Muhammad al-Zubair Abd Samad Cheam, 28, pondok itu mula beroperasi secara rasminya pada 16 Ogos 2015 di premis milik Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) iaitu Bangunan Darul Hidayah, Kampung Baru, Kuala Lumpur dengan 44 pelajar.

Katanya, pada 2 Februari 2016, PMA menerima kemasukan pelajar kohort kedua seramai 108 orang dan bagi menampung bilangan pelajar yang meningkat ia berpindah ke Kompleks Darul Kifayah di Taman Koperasi Polis Fasa 2, Batu Caves sebelum bakal beroperasi di bangunan sendiri di tapak milik MAIWP di Setiawangsa tidak lama lagi.

“PMA kini mempunyai 198 pelajar lelaki di bawah bimbingan 21 guru dengan 10 daripadanya mempunyai ijazah Sarjana dari dalam dan luar negara serta dibantu lima staf sokongan,” katanya.

Menurutnya, sistem pembelajaran PMA dibahagikan kepada empat aliran iaitu Turath Arab, Turath Jawi, Tahfiz dan Akademik mengikut Kurikulum Standard Sekolah Malaysia (KSSM).

Katanya, pengambilan pelajar dibuat berdasarkan beberapa kriteria antaranya lepasan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dengan keputusan sekurang-kurangnya 7A serta lulus ujian bertulis dan temu duga serta bonus kepada mereka yang menghafal al-Quran sekurang-kurangnya 15 juzuk untuk memasuki kelas khas tahfiz.

Beliau berkata, lebih 70 peratus pelajar di pondok itu berasal dari luar Kuala Lumpur dan datang dari pelbagai latar belakang termasuk golongan asnaf.

“Tempoh pengajian PMA berbeza dengan sekolah atau pondok tradisional kerana kami menggunakan sistem dua semester setahun yang bermakna pelajar perlu menghabiskan lapan semester sepanjang empat tahun pengajian di sini selain pelajar diwajibkan menghafal satu juzuk al-Quran setiap semester.

“Pelajar tahun satu akan mengambil subjek permulaan PMA dan tingkatan empat, tahun kedua mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tahun ketiga menduduki Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan tahun empat mengambil Syahadah Ulya iaitu sijil khas pondok,” katanya.

Ustaz Muhammad al-Zubair berkata, sijil khas PMA itu melayakkan pelajar untuk menyambung pengajian terus ke tahun kedua ijazah Sarjana Muda Fiqh dan Fatwa di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) kerana mereka sudahpun mengambil subjek tahun pertama ketika belajar di peringkat Syahadah Ulya.

Begitupun katanya, ada juga pelajar yang keluar lebih awal menyambung pelajaran ke institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara selepas tamat SPM, STPM atau Syahadah Ulya bergantung kepada keputusan peperiksaan masing-masing.

Menurutnya, walaupun jadual padat kerana menggabungkan empat aliran pengajian, namun pelajar mampu menggalas tanggungjawab dan cabaran itu sekiranya mengikut modul ditetapkan di bawah bimbingan guru berpengalaman termasuk dua dari luar negara iaitu Syria dan Yaman.

“Sesuai dengan visinya untuk melahirkan tokoh yang benar-benar berwibawa dan pakar rujuk dalam pelbagai bidang ilmu agama, kita akan menjadikan pendidikan pondok terbaik yang mampu melahirkan golongan al-Abaqirah yang menguasai pelbagai disiplin ilmu dan pendidikan bersepadu.

“Kita berharap dengan beberapa tahun belajar di PMA ini, pelajar mendapat mutiara ilmu berharga, seterusnya mampu menghurai ilmu dan menyumbang kepada masyarakat terutama di kampung mereka sendiri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Jun 2017 @ 7:03 AM