Faizul Azlan Razak


Kuala Terengganu: Kerajaan negeri mengingatkan peniaga Bazar Aidilfitri di sini, supaya mematuhi permit diberikan yang membenarkan perniagaan dijalankan sehingga 29 Ramadan sahaja bagi mengelak disaman dan nama disenaraikan hitam.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu, Datuk Dr Alias Razak berkata, keputusan kerajaan negeri tidak membenarkan operasi Bazar Aidilfitri pada malam 1 Syawal adalah bagi memberi laluan kepada kerja pembersihan sebelum Aidilfitri.

"Sekiranya pengumuman rasmi tarikh Aidilfitri jatuh pada Sabtu, maka waktu pengoperasian Bazar Aidilfitri dibenarkan sehingga jam 12 tengah malam, hari Khamis.

"Bagaimanapun, sekiranya Aidilfitri jatuh pada hari Jumaat, waktu operasi Bazar Aidilfitri tetap dibenarkan sehingga Khamis sehingga jam 12 tengah malam," katanya pada sidang media di Pejabat Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) di sini, hari ini.

Dr Alias berkata, sekiranya ada dalam kalangan peniaga yang tidak mematuhi arahan yang diberikan, tindakan akan dikenakan kerana ia satu kesalahan.

Beliau berkata, selain tindakan kompaun terhadap peniaga yang berniaga melepasi masa pengoperasian yang ditetapkan, nama mereka juga akan disenaraikan hitam daripada berniaga pada tahun depan.

"Kami berharap mereka dapat memberikan kerjasama bagi membolehkan 2,224 pekerja pembersihan dapat menjalankan kerja membersihkan sampah di bazar terbabit," katanya.

Dalam pada itu, Dr Alias berkata sebanyak 3,431 pemeriksaan dijalankan membabitkan 222 notis kompaun dikeluarkan terhadap peniaga Bazar Ramadan setakat 14 April lalu.

Menurutnya, kesalahan tidak memakai apron paling banyak dikeluarkan, iaitu sebanyak 113 notis diikuti tidak menjaga kebersihan diri iaitu 49 notis, tidak mengikuti latihan pengendali makanan (35 notis), menggaji pengendali makanan tiada latihan dan suntikan anti typhoid (14 notis) serta notis lain-lain (11).

"Sebanyak 69 sampel makanan diambil yang mana 61 adalah sampel analisa mikrobiologi dan lapan lagi untuk sampel analisa kimia.

"Daripada 61 sampel analisa mikrobiologi, lapan daripadanya peratus mempunyai pelanggaran.

"Berdasarkan tahap penilaian kebersihan premis, sebanyak 99.5 peratus iaitu 3,416 premis mencapai tahap kebersihan melebihi 80 peratus.

"Selain itu, sebanyak 105 kompaun dikeluarkan Penguat kuasa Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) atas kesalahan di bawah Seksyen 107 (2) Akta Kerajaan Tempatan 1976 iaitu tiada kad pengendali makanan dan sembilan kompaun di bawah Undang-Undang Kecil Penjaja MBKT 1980 kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 April 2023 @ 3:11 PM
DATUK Dr Alias Razak (tengah) meminta peniaga mematuhi permit yang dikeluarkan, di sini. FOTO Faizul Azlan Razak
DATUK Dr Alias Razak (tengah) meminta peniaga mematuhi permit yang dikeluarkan, di sini. FOTO Faizul Azlan Razak