Suspek yang terbabit kes curi kereta disambung reman empat hari sehingga 11 Jun. FOTO Omar Osman
Suspek yang terbabit kes curi kereta disambung reman empat hari sehingga 11 Jun. FOTO Omar Osman
Omar Osman


DUA lelaki berusia 16 dan 22 tahun yang ditahan kerana memandu kereta curi dan melanggar Proton Waja polis di sebuah stesen minyak di Kampung Merbau Kudung, Sik, minggu lalu, direman empat hari lagi, bermula hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda Superintendan Saifi Abd Hamid berkata, reman terhadap dua suspek yang berasal dari Sik itu disambung empat hari sehingga 11 Jun ini bagi membantu siasatan berhubung kes curi kenderaan.

Katanya, mereka sebelum ini direman sejak Isnin lalu sehingga semalam dan polis memerlukan lebih masa bagi melengkapkan kertas siasatan mengikut Seksyen 379(a) Kanun Keseksaan (KK).

"Kedua-dua suspek turut disiasat mengikut Seksyen 186 KK, Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam kejadian 2.20 petang Ahad lalu, polis terpaksa melepaskan tiga das tembakan ke arah tayar bahagian pemandu Proton Iriz selepas dua suspek terbabit bertindak melanggar Proton Waja polis di sebuah stesen minyak sebelum mereka ditahan.

Proton Iriz itu dilaporkan hilang di Amanjaya, Bedong pada 3 April lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Jun 2017 @ 8:15 PM