AHLI SPWINDS yang akan membuat persembahan di Konsert SP Winds Flourishes 2017 di Teater Shah Alam pada 14 dan 15 Julai depan.
AHLI SPWINDS yang akan membuat persembahan di Konsert SP Winds Flourishes 2017 di Teater Shah Alam pada 14 dan 15 Julai depan.
Nursyahirah Marzuki

Cyberjaya: Orkestra Seri Puteri Symphonic Winds (SPWINDS) akan menganjurkan Konsert SP Winds Flourishes 2017 bagi mengumpul dana bagi Pertandingan Muzik Dunia (WMC 2017) yang dijadual berlangsung di Kekrade, Belanda pada 22 Julai depan.

SPWINDS adalah satu orkestra sekolah yang memenangi pelbagai pertandingan dalam negara dan di persada antarabangsa, sekali gus mengharumkan nama Malaysia.

Pengarah konsert Hasnal Hashim berkata, penganjuran konsert berkenaan adalah satu usaha dalam mempertingkat dan memartabat seni persembahan orkestra bersama artis tanah air.

“Konsert hari pertama diadakan pada 14 Julai depan bermula seawal jam 8 malam dengan menampilkan legenda rock negara, Amy Search yang akan mempersembahkan beberapa lagu popularnya bersama SPWINDS.

“Manakala konsert hari kedua yang dijadual pada 15 Julai pula menampilkan Raja Pop Datuk Jamal Abdillah bersama penyanyi Datuk Khatijah Ibrahim. Selain mendendangkan lagu sendiri, mereka juga akan berduet bersama pada malam berkenaan,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Hadir sama Pengetua Sekolah Seri Puteri (SSP) Nor Aishah Abdullah dan Pengerusi Kumpulan Sokongan Ibu Bapa SP Winds Wan Jamaludin Wan Abdul Malik.

Hasnal yang juga Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) berkata, konsert yang akan diadakan di Teater Shah Alam itu akan membawa format konsert berbentuk klasikal rock balada pada hari pertama dan klasikal pop pada hari kedua.

“Tiket konsert akan mula dijual secara dalam talian pada 29 Mei ini dengan harga RM99 (Perak), RM149 (Emas), RM199 (Platinum) dan RM249 (Diamond).

“Orang ramai yang ingin mendapatkan tiket boleh melayari laman sesawang di http://www.myticket.asia/ atau menghubungi Zuraidah Ahmad (016-6305544) atau Rozita Muharam (013- 2062664) atau Shahriyah (019-4352090),” katanya.

Menurutnya, pasukan berkenaan memerlukan dana kira-kira RM700,000 untuk menyertai pertandingan berprestij pada Julai ini yang akan digunakan bagi menampung kos tiket penerbangan dan penginapan bagi 60 pelajar.

“Ketika ini, kami berjaya mengumpul RM300,000, namun jumlah berkenaan belum mencukupi untuk menghantar pelajar menyertai WMC 2017.

“Konsert ini antara usaha mencari dana dengan menyasarkan 1,600 penonton pada dua hari konsert dijalankan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Mei 2017 @ 4:59 AM