ORANG ramai membantu mengeluarkan pemandu ambulans, pegawai perubatan dan pesakit dari ambulans yang terbalik sejurus nahas.
ORANG ramai membantu mengeluarkan pemandu ambulans, pegawai perubatan dan pesakit dari ambulans yang terbalik sejurus nahas.
Hasbullah Azhar


Melaka: Pengguna jalan raya yang melalui persimpangan lampu isyarat Cheng Height, Jalan Cheng di sini, cemas selepas sebuah ambulans terbalik sejurus berlanggar dengan Perodua Viva, jam 12 tengah hari semalam.

Pada kejadian itu, ambulans berkenaan dipercayai dalam perjalanan menghantar pesakit dari Lubuk Cina, Masjid Tanah, Alor Gajah ke Hospital Melaka.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu Pegawai Bomba Kanan II Mohd Zahery Mohd Zailani berkata, pemandu, pegawai perubatan dan pesakit berada dalam kenderaan itu namun tidak mengalami kecederaan serius.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan, jam 12.24 tengah hari sebelum mengerah sebuah jentera bersama anggota dan ambulans Unit Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (ERMS) ke lokasi.

“Apabila kami tiba, pemandu Perodua Viva, pegawai perubatan dan pesakit berkenaan sudah dibawa ke Hospital Melaka selepas dikeluarkan daripada kenderaan berkenaan oleh orang ramai.

“Ambulans yang terbalik di tengah jalan dan Perodua Viva berkenaan juga sudah dialihkan ke bahu jalan dengan bantuan orang ramai,” katanya ketika dihubungi.

Mohd Zahery berkata, kemalangan menyebabkan tumpahan minyak daripada ambulans terbabit dan pihaknya susah selesai melakukan kerja pembersihan bagi mengelak berlaku kemalangan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mei 2017 @ 5:23 AM