Keadaan kedua-dua kenderaan selepas bertembung dalam kemalangan di Jalan Abdul Rahman. FOTO ihsan PDRM
Keadaan kedua-dua kenderaan selepas bertembung dalam kemalangan di Jalan Abdul Rahman. FOTO ihsan PDRM
Mohamad Fahd Rahmat


GURU lelaki maut selepas Perodua Viva dipandu bertembung dengan sebuah ambulans di Jalan Abdul Rahman, Parit Raja, Muar pada 5.30 pagi, hari ini

Ketua Polis Daerah Muar Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata, mangsa, Adi Hazly Ideris, 40, maut selepas kenderaannya terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan ambulans berkenaan yang kemudian terbalik.

Katanya, mangsa yang cedera adalah pemandu ambulans Md Hailmey Abd Hamid, 36, pembantu hospital Teo Wei Chee, 31, dan pesakit Tee Chai Hoon, 82, yang mengalami luka di anggota badan termasuk kepala.

"Ambulans dengan seorang pesakit dalam perjalanan dari Parit Samsu ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar dan semasa sampai di tempat kejadian, dipercayai si mati yang datang dari arah Muar menghala ke Parit Jawa memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan ambulans itu.

"Pemandu Perodua Viva disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu dan penumpang serta pesakit di dalam ambulans dibawa ke HPSF bagi menerima rawatan lanjut.

"Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku disebabkan oleh kecuaian si mati yang memasuki laluan ambulans," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 January 2018 @ 1:43 PM