AHMAD Shabery (tengah) dan Badruddin (kiri) pada majlis pelancaran kempen cili tempatan, semalam.
AHMAD Shabery (tengah) dan Badruddin (kiri) pada majlis pelancaran kempen cili tempatan, semalam.
Hayati Ibrahim

Putrajaya: “Setiap sebiji cili tempatan yang dimakan, kita membantu seorang usahawan dan keluarga mereka. Bukan saja cili tempatan lebih sedap, tetapi ia menanam semangat patriotik dalam kalangan rakyat,” kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Shabery Cheek.

Beliau berkata, ia antara matlamat utama pelancaran Kempen Lebihkan Makan Cili Tempatan anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bermula di Pasar Tani Presint 3, di sini, semalam sebelum diperluaskan ke seluruh negara.

Menurutnya, kempen itu bertujuan mengimbangi kejatuhan harga cili tempatan di pasaran, sekali gus meningkatkan pendapatan petani terutama 2,000 anak muda Program Agroprenuer yang terbabit dalam penanaman cili tempatan.

“Sebanyak tiga juta polibeg cili ditanam menggunakan pelbagai kaedah termasuk fertigasi, jadi mereka inilah yang perlu dilindungi dan diberi sokongan.

“Jadi, kempen ini penting untuk menggalakkan rakyat memilih cili tempatan yang dikategorikan sebagai cili premium yang mempunyai rasa lebih enak dan lemak serta mempunyai antioksidan tinggi,” katanya selepas pelancaran kempen berkenaan di Pasar Tani Presint 3, di sini, semalam.

Turut hadir Pengerusi FAMA Tan Sri Badruddin Amiruldin.

Ahmad Shabery berkata, kempen ini diadakan di seluruh negara khususnya di pasar tani dan cawangan FAMA, selain bekerjasama dengan pasar raya besar untuk menjayakan kempen ini.

“Kita meminta pengusaha meletakkan bendera Malaysia bagi cili tempatan sekali gus menunjukkan perbezaan dengan cili import, jika dibandingkan cili import lebih murah, tetapi kualiti cili keluaran tempatan lebih baik.

“Ini diakui sendiri Singapura yang banyak membeli sayuran Malaysia kerana mereka mahukan produk berkualiti premium,” katanya.

Beliau berkata, ketika ini cili merah tempatan merangkumi 60 peratus pasaran, manakala cili import yang biasanya diperoleh dari Thailand dan Vietnam 40 peratus.

“Namun, sekitar Mei negara dijadikan lokasi lambakan cili import menyebabkan keresahan dalam kalangan pengusaha tempatan kerana terpaksa bersaing dengan cili import yang dibawa masuk dan dijual dengan harga murah.

“Di sinilah pentingnya kempen besar-besaran supaya rakyat memilih cili tempatan kerana setiap sen yang dibelanjakan akan berputar dalam negara saja, sedangkan kalau beli cili import kita bantu orang lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mei 2017 @ 6:07 AM