Pokok hujan-hujan atau nama saintifiknya Samanea saman  yang menjadi kebanggaan.
Pokok hujan-hujan atau nama saintifiknya Samanea saman yang menjadi kebanggaan.
Perangkap anai-anai yang dipasang di pokok.
Perangkap anai-anai yang dipasang di pokok.
teknologi terkini yang dikenali sebagai Picus Sonic Tomograph System.
teknologi terkini yang dikenali sebagai Picus Sonic Tomograph System.
Mohd Hafizee Mohd Arop


Taiping: Bagi mengetahui kekuatan dan keteguhan pokok Samanea Saman atau hujan-hujan di sekitar Taman Tasik Taiping, Majlis Perbandaran Taiping (MPT) mengambil pendekatan untuk menggunakan teknologi terkini yang dikenali sebagai Picus Sonic Tomograph System.

Picus Sonic Tomograph alat menilai kerosakan dalam pokok yang digunakan di negara maju untuk melihat ciri dalaman pokok dan menilai kesihatan serta tahap bahaya pokok.

Difahamkan, MPT menjalinkan kerjasama dengan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) yang membeli alat teknologi berkenaan yang mampu mengesan bahagian kayu hidup dan reput di dalam pokok melalui gelombang bunyi.

Namun, kerja pengesanan menggunakan alat berkenaan hanya boleh dilakukan selepas alat itu kembali diperoleh FRIM kerana ia dalam proses pembaikan di Jerman.

Yang Dipertua MPT Datuk Abd Rahim Md Arif berkata, alat berkenaan dijangka digunakan bagi mengesan bahagian kayu hidup dan reput di dalam pokok hujan-hujan, sekali gus membolehkan MPT mengetahui tahap pokok berkenaan.

Katanya, buat kali pertama, pihaknya hanya menggunakan kaedah pengesanan itu terhadap 40 pokok dengan kos dianggarkan RM500 bagi setiap pokok bagi menilai tahap pokok berkenaan.

“Apabila kami sudah kesan tahap dalaman pokok ini, kami boleh mengetahui jangka hayatnya dan boleh bersiap sedia gunakan kaedah lain bagi mengekalkan spesies pokok ini yang menjadi ikon taman tasik ini.

“Selepas alat ini siap dibaiki, kami akan menggunakannya selepas sudah memberitahu FRIM untuk menggunakan alat itu dan kos menggunakan peruntukan diberikan kerajaan negeri,” katanya.

Abd Rahim berkata, selain itu, pokok hujan-hujan dan beberapa jenis lain di sekitar kawasan taman tasik ini juga terdedah kepada masalah anai-anai menyebabkan pihaknya turut menggunakan beberapa kaedah untuk mengatasi masalah itu.

Katanya, kakitangan MPT di Bahagian Landskap sudah menjalankan kerja membuat lubang di setiap pokok berkenaan dan menabur serbuk kayu bagi memerangkap serangga berkenaan dan kaedah itu dilihat membantu daripada masalah anai-anai.

Keterangan Gambar:

PIX: Lubang memerangkap anai-anai dibuat di setiap pokok.

PIX: Pokok Samanea saman yang baru ditanam menggunakan kaedah transplan selepas tumbang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 April 2017 @ 5:28 AM