MOHD Shukrie (berdiri dua kanan) bersama pemenang Peraduan Pos Laju Prepaid Craze di Kenanga Wholesale Centre, semalam.
MOHD Shukrie (berdiri dua kanan) bersama pemenang Peraduan Pos Laju Prepaid Craze di Kenanga Wholesale Centre, semalam.

Kuala Lumpur: Penuntut jurusan optometri Kolej SEGi Kota Damansara diumumkan pemenang hadiah bonanza Peraduan Pos Laju Prepaid Craze, semalam.

Kemenangan itu melayakkan Kuan Hui Teng, 23, menerima hadiah baucar penghantaran prabayar Pos Laju bernilai RM9,000 yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh.

Kuan adalah salah seorang daripada 26 pemenang peraduan berkenaan bagi Februari yang diadakan di pusat beli-belah Kenanga Wholesale Centre, di sini.

Kuan yang mengusahakan perniagaan produk kecantikan dalam talian secara sambilan itu berkata, dia adalah pengguna tetap perkhidmatan Pos Laju lebih setahun lalu untuk menghantar barangan belian pelanggan.

“Boleh dikatakan setiap hari saya akan berurusan dengan Pos Laju untuk urusan perniagaan.

“Walaupun banyak syarikat penghantaran barangan swasta tetapi perkhidmatan Pos Laju tetap menjadi pilihan,” katanya kepada Harian Metro.

Katanya, dia lebih berkeyakinan dan amat berpuas hati dengan perkhidmatan Pos Laju yang bukan saja murah tetapi sangat efisien.

Sementara itu Mohd Shukrie berkata, peraduan berkenaan yang diadakan dari 1 Disember 2016 hingga Februari lalu menyediakan hadiah keseluruhan bernilai RM222,222 membabitkan 190 pemenang.

“Peraduan ini diadakan bertujuan mendekati, mengekalkan dan memberi ganjaran kepada pelanggan setia Pos Laju serta menghargai sokongan berterusan pelanggan terhadap produk serta perkhidmatan berkenaan.

“Peraduan ini juga sebahagian strategi untuk menggalakkan pelanggan membeli dan menggunakan produk serta perkhidmatan Pos Laju termasuk kotak prabayar, bungkusan dan pelekat prabayar Pos Laju,” katanya.

Dalam perkembangan lain Mohd Shukrie berkata, Pos Laju menyasarkan perolehan RM100 juta bagi jumlah penghantaran barang menggunakan perkhidmatan itu dalam tempoh dua tahun akan datang.

“Jumlah barangan yang dihantar tahun lalu ialah RM70 juta dan kita optimis untuk mencapainya (RM100 juta),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 April 2017 @ 5:37 AM