Mohd Faisha  di  Mahkamah Majistret Kuala Terengganu.
Mohd Faisha di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu.
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Seorang lelaki dihukum penjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam, selepas mengaku bersalah membantu menyembunyikan harta curi.

Keputusan itu dibuat Majistret Abdul Hayyi Salim selepas tertuduh, Mohd Faisha Hussin, 30, dari Kampung Sungai Rengas, di sini, mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyembunyikan harta curi milik Samsiah Ngah, 54, iaitu satu bekas cermin mata berbentuk silinder warna hitam, beg warna coklat gelap, telefon bimbit jenama Samsung serta bateri bercetak Samsung dengan mengetahui semua barang berkenaan barang curi.

Tertuduh mengaku salah melakukan kesalahan itu di hadapan sebuah rumah di Taman Permint Jaya, Fasa 4, Chendering, di sini, pada jam 5.45 petang, 24 September 2016.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Asyraf Minhad.

Sebelum ini, media melaporkan, guru wanita cedera selepas terseret sejauh 10 meter ketika beg tangannya diragut dua lelaki bermotosikal di hadapan rumahnya di Taman Permint Jaya, Fasa 4.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mac 2017 @ 12:35 AM