SERAMAI 105,000 pengunjung hadir MATTA Fair 2017 selama tiga hari di PWTC.
SERAMAI 105,000 pengunjung hadir MATTA Fair 2017 selama tiga hari di PWTC.
Nor 'Asyikin Mat Hayin


Kuala Lumpur: Penganjuran MATTA Fair 2017 disifatkan mencapai sasaran apabila bilangan pengunjung mencecah 105,000 orang dengan jumlah jualan keseluruhan iaitu kira-kira RM200 juta.

Presiden Persatuan Ejen Pelancongan dan Penggembaraan Malaysia (MATTA) Datuk Hamzah Rahmat berkata, penganjuran kali ini adalah yang terbaik setakat ini sejak diadakan pada 1991.

“Setiap tahun terdapat peningkatan dari segi bilangan peserta, pengunjung dan itu mempengaruhi jumlah jualan kali ini.

“Tahun ini kita turut menambah ruang perniagaan 1,299 berbanding 1,210 tahun lalu,” katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, kelembapan ekonomi semasa tidak menjejaskan hobi orang ramai untuk melancong, sama ada di dalam ataupun luar negara.

“Ini dibuktikan apabila ramai pengunjung mengunjungi MATTA Fair yang diadakan selama tiga hari dan berakhir hari ini (semalam) untuk mendapatkan pakej percutian menarik.

“Melancong seperti sudah menjadi aktiviti wajib kepada rakyat di negara ini dan ramai tidak berkira untuk berbelanja demi memenuhi hobi mereka,”katanya.

Katanya, tarikan utama MATTA Fair ialah tawaran harga menarik iaitu 50 hingga 60 peratus lebih rendah berbanding harga biasa.

“Jika bernasib baik, pengunjung juga boleh mendapatkan harga hotel bertaraf lima bintang pada harga hotel bertaraf tiga bintang jika mereka rajin membuat tinjauan di semua ruang perniagaan peserta pameran,”katanya.

Hamzah berkata, terdapat 40 syarikat ejen umrah terbabit dalam MATTA Fair kali ini bertujuan membantu memudahkan orang ramai membuat pilihan syarikat menguruskan ibadah umrah mereka.

“Bakal jemaah umrah dinasihatkan supaya tidak ‘terpedaya’ dengan tawaran pakej umrah murah bagi mengelakkan penipuan tetapi juga untuk keselesaan mereka melaksanakan ibadat berkenaan,” katanya.

Peserta pameran iaitu Pengarah Urusan Hello Holiday Sendirian Berhad Tai Poh Kim berkata, pelbagai pakej menarik ditawarkan syarikatnya kepada pengunjung untuk melancong ke beberapa negara di luar negara.

Katanya, diskaun harga sebanyak RM300 ditawarkan untuk setiap pakej pelancongan sempena MATTA Fair kali ini.

“Hello Holiday Sendirian Berhad mendapat pengiktirafan sebagai syarikat pakar pelancongan dan Jepun sering menjadi pilihan pelancong melancong ke negara matahari terbit.

“Pakej ditawarkan serendah RM7,588 sehingga RM8,588 untuk beberapa lokasi di Jepun termasuk tiket kapal terbang, penginapan, pemandu pelancong, cukai lapangan terbang dan tip pemandu pelancong,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mac 2017 @ 8:12 AM