ANTARA pelajar yang ditahan dalam Op Ponteng di kafe siber.
ANTARA pelajar yang ditahan dalam Op Ponteng di kafe siber.
Nazdy Harun


Hulu Terengganu: “Cikgu bagi cuti sehari lepas main sepak takraw.” Begitulah alasan seorang pelajar sekolah menengah di daerah ini yang ditemui di kafe siber ketika Op Ponteng dijalankan Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Terengganu (PPDHT), semalam.

Remaja berusia 13 tahun turut memberi alasan berbeza beberapa kali sebelum itu termasuk mendakwa dia gagal ke sekolah kerana demam dan diketahui ibunya tetapi kehadirannya ke pusat Internet berkenaan di Bandar Kuala Berang tanpa pengetahuan keluarga.

Berikutan itu, pelajar berkenaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu untuk sesi kaunseling selepas operasi dijalankan selama tiga jam bermula 8 pagi itu.

Difahamkan, pelajar berkenaan dihantar ibunya yang juga seorang kakitangan awam ke rumah neneknya di sekitar bandar Kuala Berang sebelum dia berjalan ke pusat Internet itu pada jam 10.30 pagi.

Pegawai Pendidikan Daerah Hulu Terengganu Jalaludin Ismail berkata, operasi membabitkan 34 orang termasuk kakitangan PPD turut memeriksa beberapa lokasi pelajar ponteng yang dikenal pasti khususnya di bandar Kuala Berang termasuk surau di kawasan sekitarnya.

“Operasi hari ini (semalam) anjuran bersama PPDHT dan IPD Hulu Terengganu dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Hulu Terengganu, Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT) serta Pejabat Agama Daerah Hulu Terengganu.

“Kolaborasi bersepadu secara skala besar begini kali pertama diadakan untuk mengawal gejala ponteng di kalangan pelajar sekolah sekali gus membantu meningkatkan prestasi kehadiran pelajar ke sekolah kerana mahu memastikan daerah ini sifar ponteng.

“Kita juga tidak mahu ada pelajar mengambil kesempatan pembabitan dalam bidang sukan sebagai tiket mendapat cuti dengan menggunakan nama guru sebagai pemberi kebenaran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mac 2017 @ 9:01 AM