ANGGOTA PASKAL membuat pertunjukkan menyelamatkan kapal perang.
ANGGOTA PASKAL membuat pertunjukkan menyelamatkan kapal perang.
Mohd Fadly Samsudin


Kuala Lumpur: Orang ramai berpeluang melihat ketangkasan komando elit kebanggaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) iaitu Pasukan Khas Laut (PASKAL) ‘beraksi’ apabila pasukan itu bakal membuat kemunculan di Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) 2017.

PASKAL adalah pasukan yang sering menjadi sebutan dan sanjungan ramai berikutan mereka dianggap serba boleh.

Malah, pasukan itu turut menjadi barisan hadapan ketika berdepan peperangan atau menjalankan operasi menyelamat di laut serta mematahkan ancaman pengganas.

Panglima TLDM, Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin menyifatkan persembahan pasukan elit bertaraf antarabangsa itu pastinya ditunggu-tunggu.

Beliau berkata, Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat Maritim (STAR) milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) turut bergabung melakukan persembahan bersama.

Menurutnya, TLDM juga mempersembahkan keupayaan peralatan moden iaitu ‘unmanned aerial vehicle’ (UAV) seperti dron, kenderaan yang boleh beroperasi di dasar laut, ‘autonomous underwater vehicles’ (AUV) serta robot di bawah permukaan air, ‘surface unmanned vessel’ (SUV).

Ahmad Kamarulzaman berkata, 44 kapal perang turut serta dalam pameran berkenaan selain penyertaan 550 syarikat berkaitan pertahanan dari 38 negara.

Beliau berkata, walaupun berdepan kelembapan ekonomi global, masyarakat antarabangsa yakin dengan keupayaan Malaysia menganjurkan LIMA’17 tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mac 2017 @ 6:57 AM