PENGUAT kuasa JHEAINS menahan tujuh lelaki  pada operasi cegah jenayah syariah, kelmarin.
PENGUAT kuasa JHEAINS menahan tujuh lelaki pada operasi cegah jenayah syariah, kelmarin.
Raja Noraina Raja Rahim


Seremban: “Tolong jangan beritahu isteri saya, kalau dia tahu, dia pasti marah dan kami boleh bercerai.”

Itu rayuan seorang lelaki berusia 50 tahun yang ditahan penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) kerana membeli nombor ramalan, kelmarin.

Dia antara tujuh lelaki berusia 31 tahun hingga 60 tahun yang ditahan pada operasi cegah jenayah syariah di enam premis berasingan di Rahang dan Jalan Nunis dekat sini, jam 5.30 petang.

Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS Ahmad Zaki Hamzah berkata, operasi dijalankan hasil maklumat awam dan risikan.

“Lapan anggota terbabit dalam operasi ini. Kami menahan tujuh lelaki kerana berada dalam premis dan turut membeli nombor ramalan.

“Beberapa individu sempat melarikan diri sebaik menyedari kehadiran kami,” katanya ketika ditemui di pejabat Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS, semalam.

Menurut beliau, semua yang ditahan dibawa ke pejabat JHEAINS untuk siasatan sebelum dibebaskan dengan bon jaminan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 79(a) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 pindaan 2004 yang memperuntukkan denda maksimum RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

“Ada yang ditahan mendakwa mereka hanya berada dalam premis menjual nombor ramalan, tetapi tidak berjudi sedangkan tindakan mereka berada di situ adalah satu kesalahan.

“Ramai yang beranggapan berada dalam premis perjudian tidak salah namun saya mahu mengingatkan bahawa perbuatan itu sebenarnya salah mengikut undang-undang sedia ada,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mac 2017 @ 5:52 AM