ANGGOTA  bomba   mengeluarkan tangan kanan Norma yang tersepit dalam mangkuk tandas.
ANGGOTA bomba mengeluarkan tangan kanan Norma yang tersepit dalam mangkuk tandas.

Tanah Merah: Seorang warga emas terpaksa menahan kesakitan sejam selepas tangannya tersepit dalam mangkuk tandas di rumahnya di Kampung Gobek, Gual Ipoh, di sini, kelmarin.

Ketika kejadian jam 3 petang, Norma Ismail, 60, seorang diri di rumahnya.

Jirannya yang menyedari kejadian selepas mendengar jeritannya menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanah Merah untuk bantuan.

Ketua BBP Tanah Merah Penolong Penguasa Bomba Hanaffi Mohd berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 3.25 petang dan sebuah jentera dengan empat anggota ke tempat kejadian.

“Sejurus tiba, didapati mangsa terbaring di bilik air dengan tangan kanan tersepit di dalam mangkuk tandas.

“Anggota memecahkan mangkuk tandas dengan peralatan khas dan mengeluarkan tangan mangsa.

“Kita mengambil masa setengah jam untuk menyelamatkannya,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Hanaffi berkata, mangsa kecederaan di tangan kanan dihantar ke Hospital Tanah Merah untuk rawatan.

Katanya, mangsa difahamkan mahu membuang air sebelum tergelincir di dalam bilik air dan tangannya tersepit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Februari 2017 @ 5:02 AM