MOHD Raziff (empat dari kanan) menyampaikan bantuan kepada Mohd Idrus.
MOHD Raziff (empat dari kanan) menyampaikan bantuan kepada Mohd Idrus.
Mohd Khidir Zakaria


Seremban: Kisah tiga beranak yang tiada tempat tinggal dan terpaksa menumpang teduh di bilik kecil di kedai cuci kereta di Jalan Temiang, di sini, mendapat simpati Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan (PERKASIH N9).

Mohd Idrus Yazid, 24, dan isteri Akma Zainudin, 31, serta anak perempuan berusia dua tahun terbabit gembira apabila menerima kunjungan daripada wakil PERKASIH N9 berkenaan.

Presidennya, Mohd Raziff Mansor berkata, mereka menziarahi keluarga itu dan memberikan sumbangan selepas melihat keadaan keluarga terbabit yang disiarkan akhbar ini, semalam.

“Tidak semua orang bernasib baik. Kami simpati dengan nasib Mohd Idrus sekeluarga dan akan membantu mereka. Kami akan cuba mencari jalan penyelesaian membantu mereka mencari tempat tinggal.

“Tambah pula, Akma sarat mengandung memerlukan tempat tinggal yang lebih selesa untuk memudahkannya menjaga anak yang dilahirkan nanti. Saya terharu dengan keprihatinan pengusaha kedai cuci kereta ini kerana membenarkan mereka menumpang teduh di sini,” katanya ketika ditemui dalam kunjungannya itu, semalam.

Mohd Raziff berkata, orang ramai yang ingin membantu memberikan tempat tinggal atau bantuan lain boleh menghubungi Setiausaha PERKASIH N9, Norfadilah Mansor di talian 012-9805132.

Sementara itu, pengusaha kedai cuci kereta itu, Syed Muhayazani Syed Mohamad, 46, berkata dia hanya mampu memberikan pekerjaan dan membenarkan mereka tinggal di kedainya itu kerana tidak dapat menyediakan rumah untuk pekerja.

“Mohd Idrus adalah pekerja tunggal saya. Saya mengusahakan kedai ini dengan bantuan anak saya. Saya mengambil Mohd Idrus bekerja dua bulan lalu dan dia memberitahu tiada tempat tinggal menyebabkan saya benarkan dia tinggal di bilik itu.

“Saya juga bimbang keselamatan keluarganya kerana kawasan ini banyak anjing liar dan orang mabuk berkeliaran. Saya sering menasihati Mohd Idrus supaya menjaga keselamatan diri, isteri dan anaknya itu,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan, tiga beranak terpaksa menumpang teduh di sebuah bilik kecil di tempat cuci kereta disebabkan tiada tempat tinggal selepas merantau dari Bahau.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Februari 2017 @ 6:19 AM