NORASLEHAH menyiram air mawar di pusara Nur Syairah.
NORASLEHAH menyiram air mawar di pusara Nur Syairah.

Alor Gajah: “Sejak seminggu lalu, kami perasan Nur Syairah langsung tidak memberi tindak balas. Hari ini (semalam), dia tinggalkan kami selama-lamanya,” kata Bakar Md Nor, 67, datuk kepada kanak-kanak menderita kanser otak, Nur Syairah Mohd Zaidi, 8.

Nur Syairah disahkan meninggal dunia di rumah keluarganya di Taman Bukit Indah Fasa 2, Masjid Tanah, jam 11.45 pagi semalam, selepas empat tahun menderita kanser otak.

Bakar berkata, meskipun sedih dengan pemergian cucunya itu, dia dan keluarga reda atas ketentuan Allah, malah lega kerana penderitaan kanak-kanak itu sudah berakhir.

“Sebelum ini, jika kami menarik tangannya, dia akan mengadu sakit, namun sejak seminggu lalu, arwah hanya terlantar membisu tanpa memberikan sebarang tindak balas.

“Saya dan isteri hanya menyedari Nur Syairah sudah tiada apabila dia langsung tidak bergerak sebelum menghubungi ibunya,” katanya ketika ditemui selepas selesai pengebumian arwah cucunya itu di Tanah Perkuburan Islam Hujan Panas, semalam.

Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, turut hadir memberi penghormatan terakhir dan sokongan kepada keluarga Nur Syairah.

Warga emas itu berkata, ibu arwah, Noraslehah Bakar, 35, bertugas sebagai jururawat di Klinik Kesihatan Masjid Tanah, kemudian pulang bersama rakan yang juga pegawai perubatan bagi melakukan pemeriksaan sebelum mengesahkan kanak-kanak itu sudah meninggal dunia.

“Semalam (kelmarin), ibunya sempat membawa Nur Syairah ke Hospital Melaka untuk menjalani pembedahan kecil bagi menjahit kelopak matanya sebelah kiri kerana bimbang akan terkena jangkitan kuman,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Februari 2017 @ 6:34 AM