ZULFITRI (dua dari kiri) menziarahi Nor Aminah yang terpaksa tinggal di rumah uzur di Kampung Kubang Kayu, Changlun.
ZULFITRI (dua dari kiri) menziarahi Nor Aminah yang terpaksa tinggal di rumah uzur di Kampung Kubang Kayu, Changlun.

Kubang Pasu: Suami isteri, Mohamad Zahir Hamid, 44, dan Nor Aminah Wan Hanif, 32, yang tinggal di Kampung Kubang Kayu, Changlun di sini, terpaksa membesarkan tiga anak dalam keadaan serba kekurangan kerana kemiskinan.

Pada masa sama, lima beranak berkenaan terpaksa menghuni rumah usang yang hampir roboh akibat dimakan anai-anai.

Menurut Aminah, suaminya berpendapatan kira-kira RM600 sebulan hasil menoreh getah manakala dia pula bekerja sebagai pembantu TASKA dengan gaji RM20 sehari.

“Kewangan keluarga kami tidak pernah cukup. Anak sulung, Mohamad Zulfan Amin yang berusia 13 tahun menghidap Haemophilia dan perlu dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar beberapa kali dalam sebulan.

“Ketika ini, dia dirawat di HSB sejak Isnin lalu selepas terjatuh semasa bermain bola sepak di sekolah. Penyakit itu menyebabkan dia mudah mengalami pendarahan dalam sel kulit,” katanya.

Aminah berkata, dia sedih melihat anak-anaknya membesar di rumah usang yang hampir menyembah bumi itu.

“Kalau angin kuat, kami sekeluarga lari menumpang di rumah jiran. Atap zink juga terangkat sehingga kami rasa rumah bergegar.

“Kami sangat perlukan bantuan untuk membaiki rumah. Kediaman ini tiada bilik air malah kami semua mandi di luar,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Johari Baharom yang diwakili Setiausaha Sulitnya, Zulfitri Yaacob berkata, pihaknya akan membaiki rumah itu dengan peruntukan RM11,000.

Katanya, rumah itu akan dibaiki selepas sambutan Tahun Baru Cina termasuk membina semula dapur.

“Saya difahamkan, Lembaga Zakat Negeri Kedah sudah membuat bancian untuk membina rumah baru untuk keluarga ini, namun terpaksa dibatalkan kerana geran tanah ini sudah diserahkan kepada pemaju perumahan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 January 2017 @ 6:02 AM