TAMBANG MRT lebih murah guna kad Touch ‘n Go.
TAMBANG MRT lebih murah guna kad Touch ‘n Go.
Mohd Nasif Badruddin

Kuala Lumpur: Orang ramai mengambil peluang terakhir semalam untuk menikmati tambang percuma transit aliran massa (MRT) bagi fasa pertama laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) dari Sungai Buloh ke Semantan yang merangkumi 12 stesen.

Mulai hari ini, pengguna MRT akan dikenakan bayaran antara RM1.20 dan RM3.90, bergantung kepada jarak perjalanan di bawah struktur tambang tunai serta antara RM1.20 dan RM3.40 di bawah kaedah tanpa tunai.

Pesara kerajaan, Ahmad Abdullah, 64, berkata, biarpun tambang percuma berakhir semalam, dia akan menggunakan MRT sebagai pengangkutan pilihan utama bagi mengelak kesesakan lalu lintas dari rumahnya di Kota Damansara ke mana-mana destinasi.

Katanya, tambang yang dikenakan berpatutan dengan kemudahan disediakan seperti parkir, kedai serbaneka dan perkhidmatan bas pengantara.

“MRT membuatkan perjalanan rakyat Malaysia lebih bagus dan lancar selain menjimatkan masa serta wang, malah kita dapat merancang lebih banyak destinasi kerana pergerakannya tidak bergantung kepada keadaan trafik.

“Reka bentuknya yang terkini, lebih luas dan selesa dapat menarik minat orang ramai terutama pekerja untuk berulang-alik dari rumah ke tempat kerja,” katanya.

Suri rumah, Rohana Ibrahim, 56, berkata, melihatkan sambutan positif terhadap tambang percuma yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 16 Disember tahun lalu, pastinya MRT akan menjadi pilihan utama rakyat Malaysia kerana ia berangkai dengan pengangkutan awam lain.

“Seiring peredaran zaman, pengangkutan moden sebegini pastinya menjadi pilihan rakyat yang lebih mementingkan masa dan tambangnya juga berpatutan.

“MRT bukan saja selesa kerana ruangnya lebih luas dan mempunyai banyak gerabak, malah susun atur juga menarik dan dipenuhi dengan informasi interaktif,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd Datuk Ir Zohari Sulaiman berkata, selaku pengendali MRT laluan SBK, pihaknya bersedia memberikan perkhidmatan terbaik untuk memenuhi jangkaan pelanggan, malah promosi tambang percuma sebulan memberi peluang kepada orang awam untuk merasai pengalaman pengangkutan awam terkini.

Katanya, mulai hari ini juga penumpang bas pengantara akan dikenakan tambang RM1 bagi setiap perjalanan dan diskaun 50 peratus diberikan kepada warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan pelajar,

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 January 2017 @ 10:59 AM