MANGSA menunjukkan laporan yang dihantar kepada Persatuan Pengguna Kedah.
MANGSA menunjukkan laporan yang dihantar kepada Persatuan Pengguna Kedah.
myMetro

Alor Setar: Seorang lelaki warga emas terkejut apabila anak perempuannya menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada syarikat telekomunikasi yang meminta dia menjelaskan bil telefon bimbit berjumlah RM640 sedangkan wanita berkenaan tidak menggunakan talian berkenaan.

Lelaki berusia 68 tahun itu berkata, anak perempuannya yang juga guru dan menetap di Kuala Lumpur turut mendakwa tidak pernah mendaftar talian berkenaan di syarikat berkenaan.

Katanya, anaknya kemudian membuat akuan bersumpah di pejabat Pesuruhjaya Sumpah di Kuala Lumpur sebelum membuat dua laporan polis iaitu satu di Kuala Lumpur dan satu lagi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar berhubung kejadian itu.

“Saya takkan bayar sesen pun kerana anak saya langsung tidak tahu mengenai nombor telefon itu. Anak sudah mendapatkan penjelasan daripada pusat khidmat pelanggan syarikat itu di ibu negara.

“Namun, dia terkejut apabila dimaklumkan ada pihak menggunakan salinan MyKad miliknya, malah tidak tertera gambar pada dokumen berkenaan.

“Saya ada menghubungi nombor telefon didakwa miliknya dan ia dijawab seorang lelaki yang menetap di Johor Bahru dan saya tidak mengenalinya,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan di pejabat Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) di sini, semalam.

Lelaki itu mendakwa anaknya tidak pernah kehilangan MyKad atau menyerahkan dokumen kepada mana-mana individu yang tidak dikenali untuk pendaftaran nombor telefon bimbit sebelum ini.

Sementara itu, Setiausaha CAKE, Mohd Yusrizal Yusoff berkata, pihaknya sudah meneliti laporan itu dan sebagai Timbalan Pengerusi Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia, dia berharap syarikat telekomunikasi berkenaan dapat menyelesaikan masalah itu dalam tempoh tujuh hari dari sekarang.

“Sepanjang 2016, CAKE menerima 97 kes seumpama ini dan 6,000 kes membabitkan pelbagai masalah berkaitan syarikat telekomunikasi di negara ini.

“CAKE menasihatkan syarikat telekomunikasi supaya menggunakan sistem biometrik, ia langkah lebih selamat. Penggunaan salinan MyKad untuk mendaftar dengan mana-mana syarikat telekomunikasi menyebabkan pengguna berisiko teraniaya jika dokumen mereka disalah guna ejen syarikat terbabit,” katanya.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 January 2017 @ 8:44 AM