Hamzah Osman


Langkawi: Melangsungkan perkahwinan secara beramai-ramai pada Walimatul urus Perdana anjuran Jawatankuasa Kariah Masjid Al-Ehsan, Kampung Temonyong, di sini, semalam, menjadi kenangan terindah buat sepasang pengantin muda masing-masing berusia 15 hingga 18 tahun selepas mendapat restu kedua-dua keluarga.

Pasangan itu, Muhammad Aidilfitri Abd Halim, 18, dan Siti Nurfitrah Mofftar, 15, diraikan bersama tujuh pasangan lain, Mohamad Yusri Zan, 20, dan Siti Syazwani Sa’adat, 20; Mohamad Azizan Bahari, 24, dan Noor Hamizah Halim, 24, serta Mohd Nasrun Afendi Ali, 24, dan Siti Aishah Marjani, 18.

Turut melangsungkan perkahwinan ialah Mohd Khairol Suberi, 28, dan Nur Ika Natasya Ahmad, 23; Muhamad Shah Yahaya, 35, dan Norhashikin Hassan, 27; Muhammad Shafiq Abdul Karim, 24, dan Nur Hasliza Rosli, 24, serta Roslan Bahari, 34, dan Sharifah Hasnor Mat Rejab, 35.

Muhammad Aidilfitri berkata, dia dan isterinya, Siti Nurfitrah teruja apabila perkahwinan mereka diraikan bersama tujuh pasangan lain sekali gus memberi kenangan berharga dalam hidup mereka.

“Penyertaan kami dalam majlis ini pula diatur oleh keluarga sebelah isteri dan saya mengikut saja, lagi pun ia boleh memberikan kenangan manis dalam hidup kami,” katanya.

Siti Nurfitrah turut mengakui teruja apabila menjadi pasangan paling muda pada majlis perkahwinan beramai-ramai itu yang berlangsung meriah selain pertama kali diadakan di kampung terbabit.

“Proses akad nikah dan kenduri anjuran masjid secara besar-besaran ini berjalan lancar dan tidak sangka pula kami menjadi pasangan paling muda,” katanya yang berhasrat bekerja dalam bidang perhotelan seperti suaminya dalam tempoh terdekat.

Sementara itu, imam Masjid Al-Ehsan Mohd Shazuri Saad berkata, idea mengadakan majlis terbabit dicetuskan ahli jawatankuasa masjid bagi meringankan perbelanjaan perkahwinan anak kariah selain merapatkan silaturahim penduduk setempat.

Terdahulu, lapan pasangan mempelai itu disambut meriah sejurus tiba di pekarangan masjid pada jam 12 tengah hari dengan diiringi konvoi 20 motosikal berkuasa tinggi dan paluan kompang serta tepukan gemuruh

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Disember 2016 @ 9:58 AM
LAPAN pasangan pengantin yang menyertai Walimatul urus Perdana anjuran Jawatankuasa Kariah Masjid Al-Ehsan Kampung Temonyong, Langkawi. Muhammad Aidilfitri dan Siti Nurfitrah dalam bulatan.
LAPAN pasangan pengantin yang menyertai Walimatul urus Perdana anjuran Jawatankuasa Kariah Masjid Al-Ehsan Kampung Temonyong, Langkawi. Muhammad Aidilfitri dan Siti Nurfitrah dalam bulatan.